SHOUT HERE

29 November 2011

M.A.H.A.S.I.S.W.A

Apa Mahasiswa itu?
by PROMUSM

Oleh sebab kita sudah terbiasa berada dalam kalangan masyarakat mahasiswa, sudah tentu kita menganggap mahasiswa adalah masyarakat belajar yang biasa mengelek buku atau menggalas beg sekolah semata-mata. Inilah yang kita biasa lihat dan inilah persepsi kita tentang mahasiswa.

Sebenarnya mahasiswa mempunyai maksud dan peranan yang lebih luas dari apa yang kita sama-sama simpulkan. Jika dilihat sendiri secara harfiah pada perkataan M.A.H.A.S.I.S.W.A, sebenarnya ia terdiri oleh dua suku kata iaitu “maha” yang membawa maksud besar dan berkuasa dan “siswa” yang merujuk pada sekelompok pelajar atau penuntut di institusi pengajian tinggi.

Hasil sintesis kedua-dua suku kata ini memberi makna yang lebih tinggi iaitu satu “bangsa” yang bukan sahaja mulia disebabkan kesempatan belajar di institusi peringkat tinggi tetapi turut mempunyai kuasa mobilisasi massa berteraskan kapasiti intelektual yang dimiliki oleh mereka.

Dr. Zuhdi Bin Marzuki (Universiti Malaya, 2001) mendifinisikan mahasiswa sebagai suatu kelompok pelajar yang yang berada dalam peringkat paling tinggi dalam sistem pendidikan formal sesebuah negara.

Penggemblingan tenaga kelompok ini berteraskan daya keintelektualan yang bersifat idealis untuk mencapai matlamat yang digagaskan bersama, selaras dengan kedudukan mereka di menara puncak ilmu.

Natijahnya, lahir suatu arus gerakan yang sentiasa bersama dengan kebenaran dan sama sekali tidak bersekongkol dengan kebatilan hatta kelompok mereka ini dikenali sebagai independence group. Mahasiswa perlu untuk menghayati spirit-spirit seperti ini. Mereka bukan sahaja menjadi ulat buku di perpustakaan dan bilik-bilik kuliah, malah sangat peka dengan isu-isu yang melibatkan kepentingan mereka dan masyarakat. Mereka sentiasa berfikir dan tahu bagaimana untuk menyuarakan pandangan mereka secara penuh rasional dan sopan.

Realiti ini telah meletakkan kepemimpinan mahasiswa sebagai pemangkin, agen perubahan, semak dan imbang dan sebagainya.

Kesimpulannya, mahasiswa hari ini perlu seiring dengan transformasi yang dijalankan oleh pihak kerajaan agar kita mampu menjadi pencetus idea-idea bernas untuk mencorak negara kita ke arah yang terus cemerlang, gemilang dan terbilang.


19 November 2011

Menjana IQ Kreatif

Minda sedar dan minda bawah sedar yang kita miliki boleh dimaksimakan penggunaannya. Pada kali ini saya akan berkongsi teknik menggunakan kedua-dua pasang minda tersebut dengan cara yang kreatif. Ada 5 langkah praktikal:- 

1. Sediakan sebuah buku impian anda. 
Senaraikan impian, matlamat dan cita-cita anda. Baiklah, sekarang anda telah pun memilih impian anda. Pastikan matlamat yang ditulis adalah jelas iaitu jika pendapatan bulanan nyatakan jumlahnya misalnya RM10 000 sebulan, jika berat badan ideal nyatakan misalnya 56kg atau jika kereta nyatakan jenisnya dan harganya. Senaraikan apa sahaja impian anda dan paling penting nyatakan apakah faedah dan sebab kepentingan nilaian bahawa anda mesti memiliki impian anda. Tanpa sebab yang kukuh minda anda tidak dapat beroperasi secara sepenuhnya. 

Untuk memantapkan impian anda maka carilah gambar impian anda yang bersesuaian, cerita contoh kejayaan model yang anda minati atau kata-kata yang ada kaitan dengan impian anda. Tampalkan dalam buku impian anda seperti buku skrap. Tujuannya adalah setiap hari terutamanya sebelum tidur atau bangun dari tidur anda dapat tatapi buku impian anda. Seelok-eloknya tataplah ia 5 kali sehari.

2. Fokus dan berikan penumpuan pada setiap satu impian anda.
a) Apabila fokus anda jelas, kemukakan selalu soalan BAGAIMANA CARA anda ingin jadikan impian anda satu kenyataan.
b) Tuliskan dan senaraikan apa sahaja idea langkah-langkah yang akan anda lakukan. Jangan buat apa-apa penilaian dahulu. Cuma tulis sahaja sama ada logik atau tidak apa sahaja yang terlintas di fikiran.
c) Dapatkan ilmu pengetahuan atau bertanya dengan orang yang telah berjaya mencapai impian yang sama seperti yang anda impikan. Sertai seminar, baca majalah, buku, dengar audio tentang bagaimana orang-orang yang telah berjaya capai impian mereka. Anda boleh tiru cara mereka. Duplikasikan.
d) Senaraikan apa yang anda miliki dari segi sumber, ilmu, modal dan apa yang anda perlu ada dan senaraikan halangan-halangan yang dijangka dan cuba cari penyelesaiannya.

3. Anda perlu berada di dalam minda alpha. 
Lakukan meditasi, kosongkan minda dan biarkan minda anda terapung untuk penerokaan potensi diri. Biarkan minda anda mencari penyelesaian terhadap permasalahan dan halangan. Dalam keadaan sedar, sentiasa tanya Bagaimana... bagaimana... bagaimana? Guna 5 pancaindera dan pancaindera yang ke 6 (Sixth sense) -rasa gerak hati pada persekitaran anda bagi menghidu peluang yang ada di sekeliling anda dan bagi menemui jawapan-jawapan permasalahan dan halangan mencapai impian anda. Anda pasti akan menemui jawapannya yang telah disediakan oleh Allah. 

4. Raptai minda. 
Gambarkan dengan sejelas-jelasnya dalam minda anda bahawa anda 'telah' dan sedang menikmati kejayaan-kejayaan anda. Lihatlah diri anda, dengarkan suara-suara kejayaan dan rasakan getaran emosi positif akan kegembiraan yang anda nikmati dengan rasa syukur dan berterima kasih dan jangan lupa dalam kegembiraan anda bayangkan juga sifat anda yang pemurah berkongsi kejayaan dengan orang lain di mana jika anda memiliki kejayaan anda amat gemar untuk menolong orang lain dengan pemberian dari anda kepada mereka. Amalkan sentiasa pada raptai minda anda supaya anda boleh menarik persekitaran tersebut dalam kehidupan seharian anda.

5. Langkah yang paling penting ialah lakukan apa sahaja yang telah anda rancang dan pelajari. Aplikasikan dalam kehidupan sebenar. JIka anda masih belum berjaya cari maklum balas dari penilaian sendiri atau dari orang lain yang ahli atau pakar dalam bidang yang anda ceburi dan lakukan berulang kali berdasarkan maklum balas tersebut sehingga anda mencapai impian anda. Apapun tindakan anda yang pastinya anda mesti berdoa dan terus berdoa sambil berusaha dan bertawakallah pada Allah.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow my page

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cheap international calls