SHOUT HERE

30 April 2011

KETAKWAAN UMAR AL KHATTAB

Umar ra kerap memegang sehelai jerami sambil berkata : “Alangkah baiknya kalau aku dapat menjadi jerami seperti ini”. Kadang-kala dia berkata : “Alangkah baiknya kalau aku tidak dilahirkan oleh ibuku!”

Pada suatu ketika Umar sedang sibuk dengan urusan yang penting. Tiba-tiba datang satu hamba Allah mengadu yang inginkan keadilan. Tetapi Umar mencemeti orang itu di bahagian bahunya. Umar berkata : “Bila aku duduk hendak menerima pengaduan engkau tidak datang tetapi bila aku sibuk dengan urusan penting engkau datang mengganggu aku.”

Tanpa berkata apa-apa orang itu pun meninggalkan Umar. Sejurus kemudian ia dibawa kehadapan Umar sekali lagi. Sambil mengunjurkan cemeti tadi kepadanya Umar berkata : “Pukullah aku sebagai membalas perbuatanku terhadapmu tadi”. Kata orang itu : “Saya mengampuni awak kerana Allah SWT”.

Kekesalan Umar tidak dapat dibayangkan. Dengan cepat dia kembali ke rumahnya lalu mendirikan sembahyang sebanyak dua rakaat. Dia mengkritik dirinya sendiri : “Wahai Umar, dahulu kedudukanmu rendah tetapi kini telah ditinggikan oleh Allah SWT. Dahulu kamu sesat tetapi kini telah dipimpin oleh Allah SWT dan Dia telah memberi kamu kuasa ke atas hamba-hambaNya. Apabila salah seorang daripada mereka datang untuk mendapat keadilan ia dipukul dan disakiti. Apakah alasan yang hendak kamu berikan di hadapan Allah SWT?” Soalan ini dihadapkan kepada dirinya bukan sekali malah beberapa kali.

Pada suatu malam Umar sedang meronda di suatu tempat di persekitaran kota Madinah dengan hambanya Aslam. Tiba-tiba kelihatan cahaya api tidak jauh dari tempat mereka berada. Dia berkata : “Nun di tengah-tengah padang pasir nampaknya ada khemah, mungkin kepunyaan suatu khalifah yang tidak dapat memasuki kota kerana kegelapan malam. Mari kita uruskan perlindungan mereka”.
Setibanya mereka di tempat perkhemahan itu, yang kelihatan hanyalah seorang perempuan dengan beberapa orang anaknya. Si ibu tadi sedang menjerang secerek air. Sambil memberi salam dia meminta izin untuk mendekatinya.

Umar : Mengapa kanak-kanak ini menangis?

Perempuan : Kerana mereka lapar.

Umar : Apa yang ada di dalam cerek itu?

Perempuan : Hanya air untuk memperdayakan mereka supaya mereka tidur dengan sangkaan bahawa makanan sedang disediakan untuk mereka. Allah SWT akan mengadili pengaduanku terhadap Umar pada hari kiamat nanti kerana membiarkan aku di dalam keadaan begini.

Umar : (Menangis) Semoga Allah SWT mengampuni kamu tetapi bagaimanakah Umar hendak mengetahui tentang penderitaan kamu?

Perempuan : Orang yang menjadi Amir patut tahu akan keadaan setiap rakyatnya.
Umar balik ke kota dan terus ke Baitulmal. Dia mengisikan sebuah karung dengan tepung, buah tamar, minyak dan kain baju. Dia mengeluarkan juga sedikit wang. Apabila karung tadi telah penuh Umar pun berkata kepada Aslam : “Letakkan karung ini ke atas belakangku Aslam”.

Aslam : Tidak, tidak, ya Amirul Mu’minin! Biar saya yang memikulnya.

Umar : Apa! Adakah engkau yang akan memikuli dosaku dihari kiamat kelak? Aku terpaksa memikulinya kerana akulah yang akan dipersoalkan nanti mengenai perempuan ini.
Dengan perasaan serba salah Aslam meletakkan karung itu di atas belakang Umar. Dengan diikuti oleh Aslam dia telah berjalan dengan pantas menuju ke khemah perempuan itu. Dia memasukkan sedikit tepung, buah tamar dan minyak ke dalam cerek tadi lalu mengacaunya. Dia sendiri meniup bara untuk menyalakan api.

Kata Aslam : “Saya melihat asap mengenai janggutnya”.
Sebentar kemudian makanan itu pun siap. Umar sendiri menghidangkan kepada keluarga miskin itu. Selepas kanak-kanak itu kenyang, mereka pun bermainlah dengan gembiranya. Melihat keadaan anak-anaknya, perempuan itu pun berkata : “Semoga Allah SWT memberi ganjaran kepada kamu kerana kebaikan hatimu. Sesungguhnya kamu lebih layak memegang jawatan khalifah daripada Umar”. Umar melipurkan hati perempuan itu dengan berkata : “Apabila kamu datang berjumpa dengan khalifah, kamu akan menjumpai aku di sana”.

Setelah melihat kanak-kanak itu bermain beberapa ketika, Umar pun beredar dari situ. Dalam perjalanan pulang Umar telah bertanya kepada Aslam : “Kamu tahu tak mengapa aku duduk di situ beberapa ketika? Aku ingin melihat mereka bermain-main dan gelak ketawa kerana kesukaan setelah melihat mereka menangis kelaparan”.



Mengikut riwayat, ketika mengerjakan solat subuh, Umar sering membaca Surah Kahf, Ta Ha dan lain-lain surah yang hampir-hampir sama dengan surah-surah itu. Waktu inilah dia kerap menangis sehingga tangisannya jelas kedengaran beberapa saf kebelakang. Pada suatu subuh ketika membaca ayat Surah Yusuf yang bermaksud :

Hanya aku mengadukan kesusahanku dan kedukacitaanku kepada Allah. (Surah Yusuf : Ayat 86)

Dia telah menangis teresak-esak sehingga tidak dapat meneruskan pembacaannya.
Wahai kaum muslimin, Umar diketahui umum merupakan pahlawan Islam yang terkenal kerana gagah beraninya. Namanya saja sudah dapat menggerunkan musuh-musuh Islam. Namun demikian, di hadapan Allah SWT dia menangis ketakutan. Demikianlah kesucian, kemurnian, ketinggian sopan santun dan keikhlasan yang dikehendaki oleh Islam, agama yang kita semua akui sebagai penganutnya.

http://sinar.cikedis.com/ketakwaan-umar


29 April 2011

Dia dirompak, tetapi sempat berdakwah

Nama Mohammad Sohail kini menjadi sebutan di Amerika. Namanya menjadi sebutan dan mendapat liputan di arus media selepas seorang lelaki cuba merompak kedai Shirley Express iaitu kedai milik Mohammad Sohail di Shirley, New York pada Mei 2010.

Perompak itu masuk dengan memegang tongkat baseball dan menuntut wang. Tetapi Sohail nekad dengan memutuskan untuk menarik keluar senapang. Perompak terkejut dengan tindakan Sohail dan dia terus melutut ke tanah. Sebenarnya senapang itu tidak mempunyai peluru.


Perompak mula menangis seperti budak kecil, mengatakan dia hanya merompak kedai kerana dia tidak punya pekerjaan dan keluarganya sudah tidak mempunyai bekalan makanan. Sohail kasihan selepas mendengar rintihan perompak tersebut

"Ketika saya melihat dia mulai menangis, saya dapat rasakan yang dia terdesak dalam hidupnya sehingga mengambil keputusan untuk mencuri" katanya kepada CNN.
 


Sohail meminta perompak itu berjanji supaya untuk tidak merompak lagi, kemudian memberinya $40 dan roti. Lelaki itu menjawab dengan mengatakan ia ingin menjadi Muslim seperti Sohail. Sohail memberitahu dua kalimah syahadah dan memberikan nama Zardari Nawaz Sharif kepada perompak tersebut.




Sementara Sohail pergi untuk mendapatkan susu untuk perompak, perompak itu terus melarikan diri. Namun Sohail tidak menekan butang amaran selepas itu dan membiarkan perompak itu melarikan diri.

Selepas orang lain mengetahui tentang kebaikannya, mereka mula menghantar wang kepadanya. Tetapi Sohail tidak menggunakan untuk dirinya. Dia memutuskan untuk memberikan kepada orang orang yang tidak berkemampuan dengan menawarkan roti dan kopi setiap malam.

Minggu ini Sohail menerima surat tanpa alamat pengirim yang mengandungi $ 50 dan nota. Kandungan surat itu:

"Anda telah menukar keseluruhan hidup saya ... Pada waktu itu saya tidak punyai duit, tidak punyai makanan, meja saya kosong, saya tak punyai kerja. Saya tahu ini kerja yang salah dengan merompak tetapi saya tidak punyai pilihan. Saya perlu memberi makanan kepada keluarga saya. Bila kamu acukan senapang, saya yakin 100% saya akan mati. " Tapi kamu telah menjadi inspirasi saya untuk saya menjadi "muslim sebenar"

"Saya sangat gembira bahawa seseorang itu telah mengubah hidupnya," kata Sohail dalam temuramahnya dengan CNN. "Jika dia masih lagi melakukan jenayah, hidup dia takkan berubah. Jadi sekarang dia adalah orang yang baik di dalam komuniti ini dan saya sangat gembira untuk itu. Dia tinggal keluar dari masalah, dia tidak dalam penjara, dan boleh mengurus keluarganya dengan baik . "

Ka’ab bin Ujrah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Akan datang di kemudian hari nanti, setelah aku tiada; beberapa pemimpin yang berdusta dan berbuat aniaya. Maka barang siapa yang membenarkan kedustaan mereka dan membantu (mendukung) tindakan mereka yang aniaya itu, maka ia bukan termasuk umatku, dan bukanlah aku daripadanya. Dan ia tidak akan dapat sampai datang ke telaga (yang ada di syurga).- Riwayat Tirmidzi, Nasae’i dan Hakim.

Jangan bersedih...sesungguhnya Allah bersama kita.


Jika Allah hendak memberikan kebahagian kepada seseorang...
dia tidak boleh ditahan oleh apa-apa tangan sekalipun...
Jika Allah menghalang kebahagian kepada seseorang...
dia tidak boleh dihulur oleh apa-apa tangan sekalipun...

Jika Allah uruskan urusan kita...
dan Allah tidak serahkan diri kita kepada kita...
walaupun dalam kadar sekelip mata...
dunia boleh berbuat apa-apa...
tetapi mereka tidak boleh mencabar kebesaran Allah...

Jika Allah mengatur untuk kita apa yang orang sangka tewas...
kita akan melihat kemenangan dari sisi Allah...
Apa yang orang rasa rugi...
Allah akan memberikan keuntungan yang mana
jalan-jalan manusia tidak sangka...
Dan Allah boleh mengwujudkan keajaiban dalam kehidupan...

Ketika kita keperitan,
kita rasa kita tidak dapat keluar daripadanya,
Tetapi hari ini Allah telah keluarkan kita dalam keadaan yang baik...
 Ketika kita ditimpa musibah tertentu,
kita kata, "habislah aku kali ini"...
tetapi usia kita masih berjalan
kita masih lagi hidup dan menikmati kurnian hidupan ini
Ketika kita kata, "Ya Allah tolonglah aku, aku susah ya Allah"
hari ini kita pun telah lupa akan perkataan itu
dan kita pun kadang-kadang lupa untuk bersyukur
di atas pebagai ranjau hidup yang telah Allah keluarkan kita daripadanya...


Orang-orang yang diberitahu kepada mereka...
"Nun orang ramai sedang berkumpul untuk ambil tindakan kepada kau!"
Namun kata Allah, IMAN mereka bertambah
mereka berkata
"Cukuplah bagi kami Allah, dialah sebaik-baik tempat diserahkan urusan"

Ya ALLAH, aku serahkan urusan ini kepada Mu ya ALLAH.



24 April 2011

Nasihat Secara Bijaksana Mengeratkan Hubungan Silaturahim


Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu sekalian mempersekutukan dengan sesuatu. Dan berbuat baiklah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahaya”. (Surah An-Nisa’ : Ayat 36)

Daripada Abu Muhammad Muth’im, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan masuk syurga orang yang suka memutuskan hubungan silaturahim”. (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Menghubungkan silaturahim adalah perkara wajib dan memutuskannya adalah haram dan termasuk dalam orang yang mendapat laknat Allah SWT. Justeru, berusaha berbuat baik kepada sesama manusia seperti memberi hadiah, menziarahinya, mendoakannya dan sebagainya. Apa gunanya kita melaksanakan solat tetapi pada masa yang sama kita memutuskan hubungan silaturahim.

Dalam sebuah hadis, daripada Abdullah bin Amr bin al-‘Ash daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: Orang yang menghubungkan silaturahim bukan orang yang memberi jaminan, tetapi orang yang menghubungkan silaturahim adalah orang yang apabila kaum kerabatnya memutuskan hubungan maka ia menyambungnya. (Hadis Riwayat al-Bukhari)

 
Daripada Abu Hurairah bahawasanya ada seseorang berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya mempunyai beberapa saudara yang saya menghubungkan tali persahabatan dengan mereka tetapi mereka memutuskan tali persahabatan dengan saya. Saya berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berbuat jahat kepada saya. Saya selalu berlembut ramah kepada mereka tetapi mereka tidak mengendahkan”. Baginda SAW bersabda: “Seandainya kamu benar-benar seperti apa yang kamu katakan, maka seakan-akan kamu menelan abu yang sangat panas kepada mereka. Dan Allah SWT akan selalu memberi pertolongan kepadamu atas perbuatan mereka selama kamu tetap berbuat demikian”. (Hadis Riwayat Muslim)

Adapun sikap manusia yang melakukan perkara tidak baik itu, maka tegurlah dengan cara yang berhemah dan berhikmah. Sesungguhnya amalan nasihat menasihati sekiranya dilakukan dengan cara yang betul boleh mengeratkan hubungan silaturahim.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan cara yang bijaksana dan dengan tutur kata yang baik.” (Surah An-Nahl : Ayat 125)

Sebuah hadis daripada Abu Wail Syaqiq berkata: Ibnu Mas’ud biasa memberi nasihat kepada kami setiap hari Khamis, kemudian ada seseorang berkata kepadanya: Wahai Abu Abdurrahman saya amat senang hati kiranya engkau mahu memberi nasihat kepada kami setiap hari. Ibnu Mas’ud menjawab: Sebenarnya tidak ada yang menghalangi saya untuk memberi nasihat setiap hari melainkan saya bimbang kamu semua akan menjadi bosan. Saya sengaja menjarangkan waktu untuk memberi nasihat sepertimana Rasulullah SAW juga menjarangkan kepada kami kerana Baginda bimbang kalau kami merasa bosan.

Retrieved from http://sinar.cikedis.com/nasihat-secara-bijaksana-mengeratkan-hubungan-silaturahim

NUKILAN HATI BUAT INSAN BERGELAR LELAKI



Lelaki idaman…

Seorang lelaki yang aku idamkan
Ialah seorang buta,bisu, bakhil dan papa…
Biarlah dia seorang yang buta
Buta, Kerana matanya sunyi daripada melihat perkara-perkara maksiat dan lagha
Kerana matanya terpelihara daripada memandang aurat wanita ajnabi
Asalkan kedua matanya terang dalam memerhatikan keagungan ciptaan Allah
Asalkan dia celik dalam melihat kesengsaraan umat Islam di Palestin, Ambon, Bosnia dan seumpananya

Biarlah dia seorang bisu
Bisu, Bisu daripada pujuk rayu yang bisa menggoncang keimanan
Bisu daripada mengungkapkan ucapan yang bisa meracun fikiran
Bisu daripada perkataan yang bisa mendatangkan kekufuran
Asalkan bibirnya sentiasa basah mengingat Tuhan
Asalkan lidahnya tidak pernah lekang dari membaca Al-Quran
Asalkan dia petah membangkang kemungkaran
Dan lantang menyuarakan kebenaran

Lelaki yang aku idamkan ialah seorang yg bakhil
Bakhil, Bakhil dalam memberi senyuman
Pada wanita yang bukan mahramnya
Bakhil dalam meluangkan masa bertemu janji dengan wanita ajnabi yang boleh dinikahinya
Bakhil untuk menghabiskan wang hanya kerana seorang wanita yang tidak sepatutnya
Tetapi dia begitu pemurah meluangkn masanya untuk beribadah kepada Khaliqnya
Dia begitu pemurah untuk mempertahankan aqidahnya
Pemurah dalam memberi nasihat dan teguran
Sehingga dia sanggup menggadaikan hartanya
Bahkan nyawanya sendiri untuk melihat kalimah LAILAHAILALLAH
Kembali megah di muka bumi

Lelaki yang aku idamkan adalah seorang yang papa
Papa, Papa dalam melakukan perkara maksiat
Papa dalam ilmu-ilmu yang tak berfaedah dan tak bermanfaat
Papa memiliki akhlak mazmumah
Tapi dia cukup kaya dalam pelbagai ilmu pengetahuan
Dia begitu kaya memiliki ketinggian akhlak dan budi pekerti yang mulia
Dia begitu kaya dengan sifat sabar dalam mengharungi tribulasi kehidupannya
Dan dia seorang yang kaya dalam membina jati diri
Dia mahu menjadi seorang syuhada
Yang syahid di jalan Maha Esa

Persoalannya...
Masih adakah lelaki idaman itu??

Masih adakah lelaki idaman itu??


*Retrieved from http://www.facebook.com/#!/notes/alias-md-desa-k/aku-bukan-utk-mu/157511390977345

23 April 2011

SUNNAH ORANG BERJUANG - SANG MURABBI



Ku titipkan lagu ini buat mereka yang berjuang demi Allah dan Rasul-NYA.




DUA PILIHAN: HIDUP MULIA ATAU MATI SYAHID


Bangkitkan gelombang jihad di hatimu wahai pemuda pilihan Allah!
Jangan sesekali engkau biar dirimu dibuai cinta mati
Serulah dirimu dan orang disekelilingmu
Katakan pada mereka
Sesungguhnya perjuangan ini ibarat air sungai yang mengalir
Ianya akan terus mengalir tanpa henti
Ia tidak mengira sedikit atau ramainya orang yang melaluinya
Ia akan meninggalkan mereka yang tidur
dan mereka yang tidak menginginkannya
-sang pemuda-


MUHASABAH CINTAKU


Tuhanku...
Pemilik nyawaku
Betapa lemahnya diriku
Beratnya ujian dariMU
Kini ku pasrahkan semua padaMU

Tuhanku...
Teringat semula segala yang engkau kurniakan padaku
Ku sedar betapa indahnya nikmat sehatku
Namun tidak pandai aku bersyukur
Kini ku harap cintaMU

Tuhanku...
Kuatkan aku
Lindungi aku dari putus asa
Sakit yang aku rasa biarlah jadi penawar dosaku
Jika ku harus mati
pertemukan aku denganMU

Ampunkan segala khilaf dan salahku selama ini
Wahai Tuhanku...

PENAWAR BAGI PENYAKIT


SAW bersabda : “Siapa yang mengucapkan La Haula Wala Quwwata illa billahi, maka ia akan menjadi ubat kepada 99 penyakit. Yang paling ringan adalah kebimbangan”. (Hadis Riwayat Tabrani)
Hadis ini adalah riwayat at-Tabarani dalam al-Awsath dan al-Hakim yang berbunyi: “Man Qala La Haula wala Quwwata Illa Billahi Kana dawa’an min tis’atin wa tis’iina da’in, aisaruha al-Hammu” dan maksudnya adalah seperti di atas.

Intipati hadis tersebut adalah umat Islam digalakkan untuk tabah dan berusaha merawat penyakit asalkan mengikut peraturan agama.
Penyakit yang dimaksudkan itu ada terkandung dalam beberapa ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Daripada Anas, bahawa Rasulullah SAW berdoa dengan doa: “Allahumma innii ‘auuzhu bika minal barashi wal junuuni wal-juzaami wa sayyi’il asqaam (yang bermaksud: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari penyakit sopak, gila, penyakit kusta dan penyakit-penyakit yang berat).” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Begitu juga hadis riwayat Abu Daud menyebut bahawa Rasulullah SAW berdoa: “Allahuamma Inni a’uuzu bika minal hammi wal hazan, wa ‘auuzhubika minal ‘ajzhi wal kasal, wa’auuzhu bika minal Jubni wal-Bukhl, wa’uuzhubika min ghalabatid daini wa qahrir rijaal (yang bermaksud: “Ya Allah, saya berlindung kepada-Mu daripada penyakit gelisah dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu daripada penyakit lemah dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada pengecut dan bakhil dan aku berlindung kepada-Mu daripada timbunan hutang dan penindasan orang.”

Apa yang penting pada hadis berkenaan ialah untuk menyatakan kelebihan dan manfaat besar kepada orang yang banyak menyebut ‘La Haula Wala Quwwata Illa Billah’. Maksudnya tiada daya dan kekuatan (untuk menolak sesuatu kemudaratan dan mendatangkan suatu yang manfaat) selain Allah SWT.
Ucapan itu dinamakan Hauqalah. Apabila kita ditimpa sesuatu yang kita tidak sukai, banyakkan menyebut hauqalah.

Imam a-Nawawi berkata: “La haula wa la quwwata illa billah”, itulah kalimah yang digunakan untuk menyerah diri dan menyatakan bahawa kita tidak mempunyai hak untuk memiliki sesuatu urusan. Ia kalimah yang menyatakan bahawa seseorang hamba tiada mempunyai daya upaya untuk menolak sesuatu kejahatan (kemudaratan) dan tiada mempunyai daya kekuatan untuk mendatangkan kebaikan kepada dirinya melainkan dengan kudrat iradat Allah SWT juga.

Dalam sebuah hadis menyebut daripada Abu Zar, beliau berkata: “Aku berjalan di belakang Rasulullah SAW, lalu Baginda berkata kepadaku: “Wahai Abu Zar, mahukah aku tunjukkan kepada kamu satu perbendaharaan daripada beberapa perbendaharaan syurga? Aku berkata: Mahu ya Rasulullah. Baginda bersabda: “La Haula wala Quwwata illa billah.”

Begitu juga hadis daripada Abu Musa, beliau berkata: “Rasulullah SAW bersabda kepadaku: “Mahukah aku tunjukkan salah satu perbendaharaan dari perbendaharaan syurga? Saya menjawab: “Mahu ya Rasulullah. Kemudian Baginda bersabda: La haula wala quwwata illa billah.”

Daripada Ibnu Mas’ud beliau berkata: “Rasulullah SAW bersabda: Wahai Muaz, adakah kamu tahu tafsir (maksud) La haula wala quwwata illa billah? Muaz menjawab: Allah dan rasul-Nya lebih mengetahui. Rasulullah SAW bersabda: La haula (tiada daya) dari menghindari maksiat kepada Allah melainkan dengan kekuatan Allah, wala quwwata (tiada kekuatan) atas mentaati Allah melainkan dengan pertolongan Allah SWT. Kemudian Rasulullah SAW menepuk bahu Muaz dan Baginda bersabda: “Demikianlah yang diberitahu oleh kekasihku Jibril daripada Tuhan.”

Sebenarnya apabila kita banyak menyebut Allah SWT atau berzikir mengingati-Nya sebanyak-banyaknya, ia mampu menjadi penyembuh, tetapi sekiranya kita banyak ingat kepada manusia ia boleh menjadi penyakit.

*Retrieved from http://hadis.cikedis.com/penawar-penyakit

IMAN DAN HASAD DENGKI


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak berkumpul di dalam hati seorang manusia antara iman dan dengki”. (Riwayat Ibnu Hibban dan Al-Baihaqi)

Hasad dengki itu adalah seumpama api yang akan memakan segala kebaikan yang dilakukan oleh seseorang seperti api yang membakar kayu.

Adanya perasaan dengki menunjukkan iman seseorang itu belum sempurna malah dengki merupakan sifat yang diwarisi daripada syaitan. Kerana dengkilah maka syaitan menggoda Adam a.s hingga terkeluar daripada syurga dan kerana dengki juga maka terjadinya pembunuhan di antara Qabil dan Habil.
Seorang pujangga Arab pernah berkata: “Orang hasad tidak akan senang hidupnya dan orang bakhil tidak akan berbudi dan tidak dapat dijadikan kawan orang yang selalu jemu dan tidak ada kemanusiaan bagi pendusta. Dan tidak dapat diterima pendapat orang yang khianat dan tiada budi bagi orang yang tidak berakhlak."

Dengki yang diharuskan dalam Islam hanyalah dengki yang menjadikan manusia berebut-rebut melakukan kebaikan seperti berlumba-lumba menuntut ilmu atau berlumba-lumba melakukan ibadat dan yang seumpamanya.

*Retrieved from http://hadis.cikedis.com/iman-dan-dengki

MEMAKAI BAJU BERGAMBAR


Diriwayatkan dari Aisyah katanya : “Nabi s.a.w pernah solat memakai baju bergambar (bercorak-corak). Suatu ketika Nabi s.a.w terlihat kepada gambar di baju itu. Setelah selesai solat, Nabi berkata : “Bawalah bajuku ini kepada Abu Jahm dan bawa kembali tukaran daripada Abu Jahm. Baju ini melalaikanku sebentar tadi dari solatku”. (al-Bukhari)

Solat adalah sah jika menepati segala rukun dan syarat yang telah ditentukan oleh syarak walaupun memakai pakaian yang bergambar. Walau bagaimanapun dari segi adab dalam beribadat, perkara ini tidak digalakkan kerana ia mungkin mengganggu penumpuan kita atau orang lain terhadap solat kecuali tidak ada pakaian yang lebih baik ketika itu.

Sesungguhnya dalam beribadat, bukan sahaja rukun dan syarat perlu diikuti tetapi adab juga mesti diutamakan. Memakai pakaian yang sopan dan selayaknya dipakai mestilah dititikberatkan apalagi ketika behadapan dengan Allah Ta’ala. Itulah yang dinamakan sifat ihsan iaitu merasakan bahawa Allah Ta’ala melihat ibadat yang sedang kita kerjakan. Jika kita tidak menjaga adab ini dikhuatiri ibadat kita tidak sempurna walaupun di sisi syarak ianya dianggap sah.

*Retrieved from http://hadis.cikedis.com/khusyuk-dalam-solat

22 April 2011

DOA RABITAH


Sebuah doa ditiitipkan buat sahabat seperjuangan sekalian. Jalan yang kita lalui bukanlah jalan yang biasa. Tetapi ia adalah jalan yang penuh dgn duri di dalamnya. Jalan yang dikelilingi dengan keperitan, kesakitan, keletihan dan memerlukan suatu pengorbanan untuk melaluinya. Sahabat sekalian, kita hanya ada 2 pilihan sama ada melalui jalan tersebut atau meninggalkannya.

Kita bukanlah pemula, bukan juga penamat. Tetapi kita adalah penerus. Orang yang melaluinya akan terus kehadapan. Kita akan ditinggalkan sekirannya kita tidak bersungguh-sungguh di dalamnya. Semoga Istiqamah dalam melalui jalan dakwah ini. Sesungguhnya ia memberi suatu janji yang pasti bagi mereka yang menyakininya. =)

SIAPA LELAKI KACAK YANG AKAN BERADA DI SAMPINGMU?



Di dalam sebuah hadis "daripada Abu Umamah al-Bahili r.a Nabi saw bersabda yang bermaksud: “Bacalah Al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada golongannya". (riwayat Muslim)

Terdapat satu riwayat menyatakan
 bahawa “Apabila seseorang itu meninggal dunia dan keluarganya sibuk melakukan upacara pengkebumian, seorang yang kacak akan berdiri di bahagian kepalanya.

Apabila mayat itu dikafankan, orang itu akan datang mendiami antara dadanya dan kain kafan itu. Bila selesai dikebumikan, orang ramai akan pulang ke rumah dan datanglah dua malaikat; Munkar dan Nakir cuba untuk memisahkan orang yang kacak itu supaya mereka dapat membuat pertanyaan mengenai iman orang yang meninggal dunia itu tanpa sebarang gangguan.

Tetapi orang yang kacak itu akan berkata : “Dia adalah kawanku. Aku tidak akan meninggalkannya berseorangan walau dalam keadaan apa sekalipun. Jalankanlah tugas kamu tetapi aku tidak akan meninggalkannya sehingga aku membawanya masuk ke syurga!” Selepas itu dia berpaling ke arah mayat sahabatnya dan berkata: “Akulah Al-Quran yang mana engkau telah membacanya kadang kala dengan suara perlahan dan kadang kala dengan suara yang kuat” . “

Janganlah engkau bimbang. Selepas pertanyaan Munkar dan Nakir ini, engkau tidak akan berasa dukacita lagi” Bila pertanyaan selesai, orang yang kacak itu akan mengadakan untuknya satu hamparan sutera yang penuh dengan kasturi dari malaikat – malaikat dari syurga”.

Alangkah indahnya dan bahagianya sekiranya orang itu adalah kita. Kita tahu tentang tingginya syafaat Al-Quran tetapi dengan mengetahuinya sahaja tanpa berusaha untuk mendekati dan merebut syafaat itu kita adalah orang-orang yang rugi.

Cuba kita renungkan sejenak diri kita sendiri. Ajal dan maut adalah ketentuan Allah. Bila ia telah datang kita tidak akan mampu memperlambatkan atau mempercepatkannya walaupun untuk tempoh sesaat. Dan apabila berada di alam kubur siapakah lagi yang akan menemani kita jauh sekali memberi bantuan kecuali amalan – amalan kita sewaktu di dunia.


retrieved from http://www.sharemotivasi.com/2011/01/tazkirah-lelaki-kacak.html 

Surat untuk anda

Pesanan untuk umat Islam
di Malaysia

Ini adalah pesanan Dr. Khalil al Hayya mewakili HAMAS di Pelestin untuk umat Islam di Malaysia. Pesanan ini diterjemahkan oleh Maszlee Malik (penulis buku "Hamas: Pejuang kota suci BaitulMaqdis") atas permintaan Dr. Khalil.
Mohon agar sahabat sekalian menyebarkannya sama ada melaui blog atau cetakan berkenaan Pesanan ini kerana ianya mengandungi rintihan, harapan, perkongsian dan rayuan daripada saudara kita di Palestin. Semoga pesanan ini memberi secebis kesedaran kepada kita.


Alhamdulillah, Allah memilih kami yang berada di Palestin supaya berjihad. Kami dipilih bagi menjadi barisan hadapan kepada umat Islam. Kami dipilih oleh Allah bagi mengorbankan jiwa, nyawa, harta, anak-anak kami supaya menentang musuh Allah dan mempertahankan Masjid Al-Aqsa. Kami juga dipilih oleh Allah bagi mewakili umat Islam di seluruh dunia supaya menjadi benteng pertahanan kepada Al-Aqsa, kiblat pertama umat Islam dan juga masjid suci ketiga. Kami juga dipilih oleh Allah supaya menjadikan mati syahid sebagai impian utama kehidupan berbanding kehidupan dunia. 
Selama lebih 60 tahun kami hidup di medan pertempuran. Selama tempoh itu juga kami dijajah, dizalimi, diseksa, dibunuh dan juga diperangi. Mengapa? Hanya kerana kami mengucapkan la ilaha ilallah dan kerana kami mempertahankan bumi serta masjid kami.

Pelbagai bentuk kesengsaraan sudah dilalui oleh rakyat Palestin. Pengusiran dari rumah, kampung halaman dan juga tanah air. Dibunuh, diseksa, ditembak, dibom, dibantai, disembelih dan pelbagai perbuatan tidak bertamadum yang dapat disenaraikan, sudah kami lalui. Generasi berganti generasi, umat Islam di Palestin tetap sabar dan komited supaya terus kekal dan mempertahankan tanah air mereka. Ia adalah jihad, kemulian dan bukti yang kami ingin bawa sebagai mahar ke syurga nanti. Semoga Allah menerima pengorbanan kami.

Semasa detik-detik awal penjajahan, kami, saudara anda daripada gerakan Islam menjadi barisan utama perjuangan. Selepas beberapa waktu, gerakan Islam dibantai oleh penjajah. Walau bagaimanapun, pembantaian itu tidak cukup bagi melemahkan kami. Sehingga zaman Jamal Abdul Naser, seperti mana saudara-saudara kita di Mesir dibantai, kami juga turut menerima kesannya. Semenjak tarikh itu, gerakan Islam terpaksa kembali ke bawah tanah. Kami menumpukan usaha membina semula struktur perjuangan. Usaha PENDIDIKAN, DAKWAH, TARBIAH, dan KEBAJIKAN menjadi agenda utama kami. Kami laluinya dengan penuh kesabaran dan ketabahan. Sehingga pada pertengahan 80-an apabila arus sekular mula jemu dengan perjuangan. Semasa arus sekular yang asalnya memandu perjuangan rakyat Palestin mula lesu, kami mula memunculkan diri sebagai peneraju perjuangan rakyat Palestin. Perjuangan kami berbeza dengan perjuangan sebelum ini. Perjuangan kami berteraskan Islam dan kami membawa mesej ummah. Perjuangan kami bukan hanya sekadar memerdekakan sekeping tanah, tetapi bagi memandu kebangkitan semua umat Islam dan meninggikan syiar Islam di muka bumi ini. 
Semenjak hari pertama penubuhannya, HAMAS menjadikan jihad sebagai jalan utama bagi memerdekakan bumi Palestin. HAMAS juga menjadikan Islam sebagai landasan perjuangannya. HAMAS juga memberikan nyawa ahli-ahli mereka bagi tujuan itu dan berjanji pada rakyat Palestin dan juga kepada umat Islam supaya terus komited dengan perjuangan kami. HAMAS juga berjanji hendak memerdekakan Masjid Al-Aqsa walaupun terpaksa berjuang dengan kuku dan gigi sahaja. Itulah janji kami. 

Setelah hampir 20 tahun berjuang, Allah memberikan hasilnya kepada perjuangan HAMAS. Kami diberi kepercayaan oleh rakyat bagi memerintah mereka. Kemenangan ini walaupun indah, namun ia adalah ujian yang getir bagi kami. Kemenangan itu adalah era baru perjuangan HAMAS. Kami terpaksa menambahka  satu lagi ruang dalam perjuangan kami iaitu POLITIK PEMERINTAHAN. Semakin bertambah beban, semakin tinggi pengorbanan kami. 

Buat umat Islam di Malaysia, kalian adalah saudara kami yang paling hampir di Malaysia. Hati-hati kita sudah diikat dengan FIKRAH dan AKIDAH yang sama. Kita dihimpunkan dalam ikatan kerohanian yang jitu. Kita ditakdirkan bersama dalam perjuangan dengan MANHAJ atau TUJUAN yang sama. Kami adalah wakil saudara di Palestin. Kemenangan kami adalah kemenangan saudara. Pemerintahan kami adalah pemerintahan saudara. Kerajaan HAMAS ialah kerajaan umat Islam di seluruh dunia. Tidakkah saudara sedar akan perkara ini? Jika saudara tidak sedarkan perkara ini, siapa lagi yang akan menyedarkannya?

Umat Islam di Malaysia sekalian, menjadi pemerintah tidak mudah. Apatah lagi memerintah dalam fasa penjajahan dan peperangan. Ditambah pula apabila pemerintah hanya memerintah sebuah negara yang tidak berdaulat dan dinafikan kedaulatannya serta memerintah sebuah negara yang menjadi sasaran keganasan penjajah Zionis yang didokongi oleh kuasa besar dunia yang zalim. Manakala pemerintahan itu sebenarnya mewarisi pemerintahan sebelumnya yang meninggalkan beban hutang sebanyak USD3 billion di dalam akaun kerajaan. Inilah realiti kerajaan yang kami terajui. Inilah juga realiti kerajaan yang diterajui oleh HAMAS di Palestin. Inilah realiti kerajaan yang mewakili saudara semua di seluruh dunia. 

Sehingga kini, para pegawai kerajaan termasuk para menteri, tidak menerima gaji semenjak 3 bulan yang lalu. Tahap penganguran mencapai 31% di Gaza dan Tebing Barat. Bekalan makanan dan petrol semakin berkurangan. Baru-baru ini, tiga orang bayi meninggal di hospital berdekatan Gaza kerana tiada ubat-ubatan yang mencukupi. Pelajar-pelajar tidak dapat menduduki peperiksaan kerana kehabisan kertas di sekolah-sekolah di Gaza dan Tebing Barat. Malah persidangan Parlimen kami di Gaza hampir-hampir dibatalakan kerana kekurangan kertas.

Mengapa semua ini berlaku? Ia kerana keberkesanan tekanan yang dikenakan ke atas rakyat Palestin oleh Rejim Zionis, AS dan EU. Tekanan yang dikenakan hanya kerana rakyat Palestin memilih calon yang rakyat inginkan dalam pilihan raya yang lalu. Tekanan dikenakan kerana kami enggan mematuhi ugutan mereka supaya mengiktiraf penjajahan Zionis. Tekanan juga dikenakan kerana kami ingin mempertahankan diri kami daripada dibunuh oleh pihak penjajah. Sampai bilakah tekanan ini akan berakhir?

Wang hasil kutipan cukai kami yang berjumlah USD55 juta sebulan tidak pernah dipulangkan kepada rakyat Palestin. Rejim Zionis mengambilnya dan mereka tidak pernah dipaksa supaya memulangkannya kepada kami. Mengapa tiada kuasa yang dapat memaksa rejim Zionis supaya memulangkannya. Mereka juga menutup laluan udara, darat dan  laut Palestin. Ekonomi kami berada di tangan rejim Zionis kerana perjanjian yang disepertujui oleh kerajaan sebelum ini.

Walau bagaimanapun, kami tidak mengharapkan itu semua. Kami yakin, saudara seIslam kami masih dapat membantu kami. Kami yakin saudara seAkidah kami dapat menampung keperluan rakyat Palestin dan mencukupinya. Kami juga yakin saudara seAkidah kami di seluruh dunia dapat membuatkan kami terus hidup dan tidak bergantung pada bantuan daripada negara-negara bukan Islam, apatah lagi daripada regin Zionis. Persoalannya, di manakah saudara-saudara kami? Di manakah mereka di saat kami memerlukan mereka?

Wahai umat Islam di Malaysia! Kami mengharapkan anda mengepalai kempen menyelamatkan kerajaan HAMAS di bumi Malaysia ini. Kami hanya mempunya dua pilihan. PERTAMANYA, tunduk kepada tekanan AS dan EU lantas mengiktiraf Israel bagi menghilangkan kesengsaraan rakyat. Pilihan yang KEDUA adalah teruskan berjuang dan tidak sekali-kali tunduk pada tekanan. Kami memilih pilihan yang kedua. Kami akan terus berjuang hingga ke titisan darah terakhir. Kami tidak akan sekali-kali mengiktiraf penjajah dan tunduk pada tekanan. Malangnya rakyat Palestin hanya mampu bertahan selama enam bulan,. Setiap hari rakyat mengadakan perarakan menyokong kerajaan dan menggesa kerajaan HAMAS tidak tunduk pada tekanan. Kami yakin, rakyat akan terus menyokong, tetapi sampai bila? Perut mereka akan kosong. Kami tidak akan membiarkan rakyat kami kelaparan dan sakit tanpa rawatan. Kami perlukan bantuan saudara bagi melakukannya. Sanggupkan saudara melihat kerajaan HAMAS di Palestin membiarkan rakyatnya kelaparan?

Umat Islam di Malaysia sekalian, kami akan terus berjuang. Kami akan terus tetap dalam perjuangan sehingga setiap daripada kami akan gugur syahid. Kami akan terus memastikan prinsip Islam terus dijulang. Namun, kami memerlukan sokongan dan bantuan kalian. 

Jika kami gugur syahid manakala saudara sekalian terus diam membisu dan hanya menyaksikan sahaja, nantikan hari pembalasan. Kami akan tuntut daripada Allah atas kelembapan saudara semua. Kami tidak akan redha pada kelesuan dan kebisuan kalian. Kami tidak akan memaafkannya. 

Umat Islam di Malaysia, kami mengharapkan saudara bersikap proaktif. Kami hanya mengharapkan saudara dapat  menyumbang USD1 (bersamaan RM3.60) setahun bagi menanggung kesengsaraan rakyat Palestin. Kami juga mengharapakn saudara melobi kerajaan saudara yang menjadi Pengerusi OIC supaya melakukan sesuatu. 

Kami juga berharap saudara melakukan kempen kesedaran dan libatkan masyarakat Malaysia, termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan Islam supaya turut membantu rakyat Palestin. Kami juga ingin melihat saudara menjadi juara di peringkat antarabangsa dalam kempen kesedaran ini. Banjiri media saudara dengan isu Palestin dan Al-Aqsa. Halakan mereka ke arah menyokong perjuangan rakyat Palestin. Kepalailah usaha serantau bagi tujuan itu, saudaralah harapan kami. 

Akhir sekali, kami mengharapkan saudara tidak melupakan kami dalam doa-doa saudara sekalain. Berdoalah supaya kami tetap dalam perjuangan kami dan dikurniakan mati syahid. Berdoalah juga supaya kita dapat bersama-sama bersolat di dalam Masjid Al-Aqsa suatu hari nanti. Pada masa itu, bendera Islam akan berkibar dan syariat Allah akan berdaulat sekali lagi di atas muka bumi ini.

Allahu Akbar!

Saudaramu,
Khalil Ismail al-Hayya
Ketua WHIP HAMAS di Majlis Legislatif Palestin
14 Mei 2006


Kamu pasti mendapatkannya

Kamu pasti mendapatkannya. Sesuatu yang telah ditetapkan buat kamu. Hilangkan kerisauan kamu dengan menyerahkan segala urusan itu kepada yang sebaiknya iaitu Allah SWT. Pasti kamu akan temui kebahagian yang sebenar-benarnya. Hidup kamu akan bahagia dan bermakna. Masa-masa kamu yang berlalu pasti membuatmu merasa berat untuk membiarkannya pergi. Keindahan itu ada di dalamnya, kamu tidak akan rugi. Sebaiknya kamu redha akan segala ketetapannya kerana dari itu akan membawamu kepada keredhaan dariNYA pula. Insya allah kamu pasti mendapatkannya....

selami akan ayat2NYA...=)

Doaku dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepadaMU....

 

Semoga bertemu dalam keredhaanNYA wahai pemilik cintaku selepas Allah dan Rasul.

Di manakah ku temui penghujungnya resah ini...



Terasa sesuatu persoalan sedang memangil-manggil di benakku yang paling mendalam. Sehingga membuatku menjadi resah dan gelisah. Semakin jiwaku dilanda resah sang penanti, semakin itu sukar untuk difahami puncanya resah gelisaku ini. Hanya kekosongan dan jua kehilangan ku rasai yang membuat hatiku merasa gundah. Lalu aku bertanya, di manakah akan ku temui penghujungnya gelisah ini. Seumpama ku menanti sejawapan rindu. Dan di manakan akan ku temui suatu sinaran yang hakiki untuk menjadi penyulah di hadapanku hingga akhir waktu.

Seandainya aku temui, cahaya yang ku cari, sudikah dikongsi bersama sebagai teman mahupun kekasih....(^_^)

Ingin sekali ku Melakar Cinta di Pintu Syurga


Sesungguhnya cinta yang ku galas dulu, hanya semusim, wanginya sekejap, harumnya tidak sampai ke penghujung, indah mekarnya hanya di kumtum. Sedangkan tamanMu ya Allah amat indah. Tiap-tiap penghuninya dikurnia rahmat.

Sedangkan diriku terlepas bebas dan leka tanpa batas. Aku yang terpedaya, hilang begitu sahaja. Ya Allah, Hijrahkan aku dengan hati putih. Kembalikan aku berpaut pada akal budi. Pasrahkan aku bersujud di bawah naungan kesedaran akan kebesaranMU. Moga terlakar cintaku di pintu SyurgaMu ya Rabb =(

Debu-debu dosa


Ya Allah, sesungguhnya kami amat berdosa padamu. Dan sesungguhnya, Engkau tidak sesekali menzalimi hamba-hambaMU melainkan kamilah yang menzalimi diri kami sendiri. Oleh itu, berilah kami keampunanMu, Hidupkanlah kami dalam keredhaanMu dan Matikanlah kami dalam dakapan kasih dan cintaMu wahai Tuhanku...

Nukilan cinta buat Mujahidahku

 
 
Nukilan Cinta untuk mujahidahku
 
Kelmarin aku bertekad
Bahawa perjuangan ini akan sia-sia
Jika kau tidak pernah disampingku
Pada usia aku yang memerlukan
Kelahiran yang akan mewarisi perjuangan ini

Hari ini , masih tidak kita bersama
Sementelah masa yang belum munculnya takdir
Sedangkan aku berusaha sesungguhnya
Sebagaimana ikrarku dihadapan walimu kelmarin

Sebelum hadirnya hari penyatuan
Sepasang daie yang menginfakkan diri untuk berjihad
Ke jalan Tuhan Rabbul Izzati
Menuju ke perbatasan perjuangan yang hakiki

Ingin aku nukilkan ingatan
Agar terpahat kukuh dihati sanubarimu
Mujahidahku

Bilamana engkau memerlukan aku
Tatkala sakit demammu
Janganlah kau mengharapkan aku membelaimu
Seperti anak kecil
Kerana masa juangku tidak menentu

Bilamana anak-anakmu kelaparan
Tatkala engkau tiada sesuatu
Yang dapat aku berikan
Janganlah kau terlalu mengharapkan
Kerana hartaku telah aku infakkan
Kepada perjuangan yang lebih memerlukan

Bilamana engkau inginkan perhiasan
Sebagaimana fitrahmu sebagai seorang wanita
Janganlah kau memarahi aku
Kerana kalung emasmu telah kuberikan
Kepada si fakir yang menuntut haknya sebentar tadi

Bilamana aku keluar ke perbatasan
Janganlah kau merintih dan bersedih
Ucapkanlah kepadaku
Agar janganlah aku pulang kerana mengingati dirimu
Sama ada aku pulang dengan kemenangan
Ataupun syahid gugur di jalan-Nya

Bila mana engkau ingin berhibur
Bersama sanak-sanudara dan teman-teman
Janganlah kau mengandaikan masa itu berada ditanganku
Kerana panggilan jihad itu tiada waktu ketetapan

Bilamana engkau memandang kesenangan dunia
Berhati-hatilah dengan tipu daya syaitan
Yang meresap bersama pujuk rayumu kepadaku
Bersedialah nescaya aku tidak mampu lagi
Tinggal bersama-sama dengan dirimu

Untuk itu,

Wahai mujahidahku
Tatkala engkau berasa lemah dan sakit
Akulah yang akan menggendongmu
Sehingga engkau pulih dan segar

Tatkala engkau lapar dan dahaga
Akulah yang akan mencicip rezeki
Di Bumi Allah ini

Tatkala keperluan waris-warisku
Akulah yang akan memerah keringat
Berusaha dengan penuh Yakin
Akan janji-janji Yang Maha Pemurah dan Pengasih

Tatkala Allah memberikan masa lapang
Ukhwah & Mahabbah sanak-saudara
Lebih aku utamakan dari masa rehatku

Tatkala engkau ingin berhias
Akulah satu-satunya insan yang bertuah
Kerana hanya aku sahaja yang layak menikmatinya

Mujahidahku

Tatkala aku tergelincir
Akibat Muslihat dunia
Engkaulah yang berhak
menarikku ke landasan yang benar.

Untuk itu

Mujahidahku

Engkaulah yang akan memimpin bidadari
Tatkala Allah membayar maharmu
yang tidak dijanjikan di dunia yang fana

Permudahkanlah Ya allah
Engkaulah Ya Allah yang mempermudahkan sesuatu
Kerana Kami makhluk yang hina sebagai hamba
Menurut perintah-Mu , Meninggalkan larangan-Mu

Permudahkanlah Ya allah
Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang...
 

Mengapa Aktivis Agama Berbeza Sehingga Hampir Berpecah ?

Mengapa Aktivis Agama Berbeza
Sehingga Hampir Berpecah ?
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
(Tulisan ini mungkin hanya sesuai dibaca oleh orang kebanyakan jika terdapat bimbingan ilmuan agama disebabkan beberapa contoh isu teknikal yang dibawakan)

pecah_rebut
Sebelum ini saya telah pernah menulis perihal kejinya sangka buruk yang sering berlingkar di dalam masyarakat. Hari ini saya ingin mengecilkan sedikit skopnya, bagi menyambung beberapa isi dalam artikel ‘Inginkah  Ulama Malaysia seperti Al-Qaradawi’ yang ada menyebut berkenaan pertelingkahan atau perbezaan pandangan di kalangan graduan agama di tanahair, malah di seantero dunia. Ada mereka yang bertanya lanjut, justeru ini sebahagian ulasannya.

Tidak dinafikan ada juga kedapatan jurutera yang bertelagah, namun mungkin jarang disebabkan ilmu mereka tetapi mereka bertelagah mengenai pangkat, jawatan, gaji, persaingan dan keputusan di tempat kerja. Ya mereka mungkin bertelagah disebabkan urusan dunia.

Demikian doktor, peguam, artitek, akauntan, guru dan sebagainya. Namun pertelagahan menjadi lebih kelihatan buruk apabila punca yang dizahirkan adalah bukan dunia tetapi disebabkan ilmu Islam atau akhirat.

Saya masih baru dalam dunia dakwah, hanya baru berpengalaman menyertainya sejak 20 tahun lalu. Dalam tempoh itulah saya terjun secara khusus dalam bidang dakwah, sama ada secara fardiah atau jama’iyyah. Saya mungkin masih agak mentah berbanding tokoh-tokoh pendakwah lain yang wujud di Malaysia. Namun begitu saya kira, tempoh itu sewajarnya cukup untuk memberi saya masa untuk meneliti antara punca pertembungan di kalangan ilmuan atau graduan agama di Negara kita dan di peringkat antarabangsa.

Sedihnya, jumlah mereka yang berminat kepada ilmu agama dan yang berkait dengannya tidaklah ramai, namun dari jumlah yang tidak ramai ini berlaku pula perselisihan dan pertelingkahan, kutuk mengutuk di antara satu sama lain. Mengapa demikian?

Bayangkan mungkin jumlah yang berminat dengan agama ini hanya 20-30 % dari seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam, dari situ terpecah dan berbalah disebabkan aliran Salafi (digelar wahabi), Khalafi (digelar Ahbash). Terpecah pula disebabkan politik, dan seterusnya terpecah lagi disebabkan berlainan wala’ dan bai’ah masing-masing kepada jemaah Tabligh, ABIM, JIM, IKRAM, ISMA, Tarekat, PAS, Hizb Tahrir dan lainnya.

Justeru, kelihatan semua pihak berlumba-lumba ‘mengejar’ sokongan dan dokongan, adakalanya  SEBAHAGIAN DARI MEREKA menggunakan teknik menghentam pihak yang lain bagi meyakinkan kumpulannya lebih baik dari yang lain. TIDAK MAMPU lagi untuk bersangka baik terhadap pihak lain.  Asyik tidak yakin dengan kemampuan pihak lain.  Snagka buruk akhirnya didahulukan, cuba menelaah niat  'tidak ikhlas' orang lain untuk menjustifikasikan tentangan. Perlukah demikian? Banyakkah keuntungan yang diperolehi oleh Islam dan umatnya melalui cara ini?

Bagaimanakah boleh tertariknya kumpulan majoriti umat Islam yang tidak minat dan tidak ambil berat urusan agama kepada Islam jika itulah gambaran yang terlihat berlaku di kalangan mereka yang serius di bidang agama?.

Ketidaksatuan ini hanya akan lebih memburukkan imej Islam dan muslimin, mengelirukan sesiapa sahaja yang ingin mula berjinak-jinak dengan Islam. Entahlah, tidak diketahui siapa yang perlu memulakan proses perdamaian tetapi yang pasti masing-masing perlu memperbetulkannya bermula dengan diri mereka sendiri.

CONTOH PERTEMBUNGAN MERUGIKAN BERPUNCA SANGKA BURUK
Saya ingin mengambil contoh kepada pertembungan tradisi di antara kumpulan yang dinamakan sebagai salafi dan khalaf, kaum tua dan kaum muda. Secara ringkasnya, antara punca utama pertembungan adalah banyak bergantung kepada sangka buruk serta miscommunication di antara mereka atau juga sengaja mengambil kalam pihak lain secara terpotong (out of context). Berikut adalah maksud saya :-

GELARAN BID'AH
1. Sekumpulan ilmuan yang digelar salafi atau wahabi sering ‘membelasah’ amalan tradisi yang diamalkan oleh ilmuan tempatan dengan nama bid’ah.

SOALAN : Mengapa sebahagian besar ilmuan tradisi melenting apabila amalan yang diiktiraf dan diamalkan oleh mereka dilabel sebagai bid’ah?

JAWAPAN : Kerana majoriti ilmuan salafi telah berusaha sedaya upaya untuk mem’package’ kan bahawa amalan bida’ah itu adalah satu dosa besar. Sebahagiannya menggambarkan bid’ah itu sebagai dosa kedua besar selepas syirik. Selain itu, bid’ah juga digambarkan pula oleh sebahagiannya pelaku bid’ah akan ke neraka disebabkan kerana amalan itu.

AKIBAT : Kumpulan ilmuan tradisi tentulah marah dan merasa diserang, kebijaksanan dan keilmuan mereka dicabar secara ‘keras’ akibat dilabel sebagai pelaku bid’ah. Mereka merasa di ‘jahil’kan oleh kumpulan tadi. Lantaran itu mereka membalas dan sebahagiannya mempertahankan diri.

PUNCA : Sangka buruk ilmuan salafi atau yang digelar ‘wahabi’ bahawa kandungan ilmu, takwil dan takrifan yang dipegang oleh mereka adalah yang paling tepat. Justeru setiap takrif yang tidak bertepatan dengan mereka adalah salah dan sudah tentulah bid’ah.

SEPATUTNYA : Ada beberapa perkara yang sepatutnya iaitu:-

Kedua-dua pihak secara adil dan tenang mengenalpasti isu yang diperbezakan pandangan adalah terdiri dari isu qat’ie atau zanni thubut dan dalalahnya. Jika ia bukan dari isu yang Qat’ie, saya yakin sepatutnya kedua-duanya sewajarnya tahu dan faham bahawa dalam sebarang hukum dan isu yang tidak disandarkan oleh dalil qati’e thubut dan dalalah, mana-mana pihak tidaklah boleh secara putus atau muktamad meyakini pihak lain sebagai salah dan dirinya sebagai wajib betul secara 100 %.

Tidak salah merasakan diri berpegang dengan pandangan yang betul lagi tepat, tetapi yang salah adalah seolah-olah sudah confirm pandangan lain adalah tersasar lalu menafi dan meremehkannya dengan cara yang keras atau penuh sindiran.

Di hari akhir pengajian bersama Syeikhuna Al-Imam Dr Yusuf Al-Qaradawi di Qatar baru-baru ini, beliau menjelaskan, proses tarjih (berijtihad) untuk menentukan pandangan yang paling tepat dan lebih kukuh boleh dilakukan. Selepas itu wajib pula ke atas pihak yang telah memilih untuk beramal dengan pilihannya. Namun ia tidak sekali boleh memburukan (taqbih al-mukhalifin) amalan dan pilihan pihak lain.

Apa yang patut dilakukan sepatutnya adalah menerangkan kepada masyarakat akan mengapa pandangan yang dipegang olehnya lebih kukuh dari pelbagai sudut, tanpa perlu dilekehkan hujah dan pilihan pihak lain. Tindakan itu hanyalah sebagai salah satu tanggungjawabnya selaku ahli ilmu yang inginkan orang ramai mengikuti pandangan yang lebih kukuh pada hematnya. Tapi jangan sekali usaha itu dicemari dengan kutukan terhadap ilmuan yang berbeza pandangan dengannya.

Apabila tindakan memperlekeh, menghina, mengutuk dan membid’ahkan ini dilakukan, ia tidak lain hanya menaikkan amarah ilmuan yang berbeza ijtihad dengannya. Kita harus faham, masing-masing ilmuan mempunyai hak untuk berusaha mencari jalan terbaik untuk mencapai redha Allah swt dan hampir kepada Rasulullah saw.

Alangkah baiknya, jika kita semua berlapang dada dan bersangka baik terlebih dahulu terhadap usaha ilmuan beraliran lain dari kita. Malangnya sangka buruk sering didahulukan, rasa ujub sering menyelubungi diri merasa diri lebih hebat dan bijak serta alim dari pihak lain. Malah, tergambar dibenaknya pihak ilmuan lain itu sengaja mengamalkan pandangan lemah kerana inginkan sesuatu dari dunia yang murah ini, sengaja ingin menyesatkan manusia dan membiarkan manusia ke neraka bersamanya!.

Saya amat berharap kita boleh bersangka baik, tiada siapa yang waras dan berilmu sengaja inginkan dirinya sesat, menyesatkan orang lain dan membawa mereka ke neraka.

GELARAN WAHHABI
SOALAN 2 : Mengapa kumpulan ilmuan yang menisbahkan diri mereka kepada manhaj salafi ini MELENTING, TIDAK PUAS HATI apabila ilmuan tradisional (Khalaf) menyerang mereka dengan gelaran Wahhabi?

JAWAPAN : Kerana ilmuan khalaf ini telah berusaha sejak sekian lama mem ‘package’ nama wahhabi sebagai ajaran sesat, mujassimah (menyatakan Allah ada jasad dan jisim) dan terkeluar dari ahli sunnah wal jama’ah.

AKIBAT: Sebahagian besar ilmuan dari aliran ini melenting dan tidak selesa dengan gelaran tersebut kerana seolah mereka memperjuangkan ajaran sesat dan adakalanya ada yang menuduh mereka sebagai kafir.

PUNCA : Memotong ayat dan sangka buruk yang bersarang dalam diri sebahagian pembenci wahhabi. Bayangkan, tidaklah saya faham mengapa kumpulan yang digelar Wahhabi ini boleh digelar sebagai mujassimah, padahal hanya orang bodoh dan terencat aqal sahaja yang akan berani mentajsimkan Allah dan menyamakannya dengan makhluk.
Masakan tidak, jika dirujuk kepada penulisan, ucapan dan sumber kedua-dua ilmuan aliran sama ada khalaf (tradisional) dan salaf, AMAT JELAS KEDUA-DUA MEREKA berpegang teguh kepada firman Allah :-

  لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Ertinya : Tiadalah yang menyerupai Allah dengan sesuatu apapun (dari kalangan makhluknya) ( Surah Al-Shura :11)

Nah, justeru dari mana datangnya salah satu antara dua aliran ini yang mengatakan Allah ada mata, tangan, kaki, kepala yang berjisim dan menyerupai manusia atau mana-mana mahkluk lain?.
Hakikat sebenarnya, apabila kita merujuk kepada sumber kedua-dua kumpulan akan kita dapati bahawa ulama kumpulan Salafi berijtihad mengatakan tiada takwilan pada setiap perkataan yang Allah menyifatkan dirinya, justeru apabila Allah mengatakannya

“Tangan Allah berada di atas mereka” (Surah Al-Fath : 10)

Kumpulan salafi ini berkata, ini bermakna Allah ada mempunyai tangan, namun sifat tangan itu tidak sama dengan manusia dan makhluk dan jangan ditanya perinciannya. Itulah ijtihad ulama bermanhaj salafi.

Namun ada kumpulan yang sengaja mencari salah, lalu ‘memotong’ ijtihad di atas dari boleh diterima kepada suatu kesalahan. Mereka mewarwarkan perkataan yang saya gariskan dan memotong  huraian yang sepatutnya, lalu kelihatanlah kumpulan manhaj salafi ini mengatakan Allah punyai tangan macam manusia dan berjisim. Lalu mereka berusaha mensabitkan bahawa pihak lain ini mentajsimkan Allah.

Begitulah satu contoh bagaimana hal ini berlaku, sama ada ia disengajakan atau tidak. Wallahu’alam. Jika mahu fahamkan lagi bentuk memotong konteks dan mengambil kata bukan yang dimaksudkan ini, bolehlah dibaca lanjut tulisan sahabat saya, Al-fadhil Ustaz Hasrizal DI SINI.

Memang benar, terdapat kemungkinan seseorang penulis itu sememangnya bermaksud sedemikian dan mentajsimkan Allah. Tapi mengapakah mungkin kita memasukkan penulis itu dalam mana-mana kumpulan?. Adalah lebih wajar, kesalahan penulis itu dibebankan kepada dirinya sendiri dan bukan mana-mana kumpulan, kerana tiada siapa yang boleh mendakwa diri dan pandangannya mewakili aliran Wahabi.

SEPATUTNYA : JANGAN MUDAH BEBANKAN KESALAHAN ‘SESAT’, ‘BID’AH, APATAH LAGI KAFIR
Jika kita boleh belajar dari arahan Nabi s.a.w agar berhati-hati dalam bab hudud, iaitu menjatuhkan kesalahan terhadap tertuduh dalam jenayah yang melibatkan hudud, nescaya saya yakin semua kita sepatutnya lebih berhati-hati untuk melabelkan seseorang sebagai:
  • Wahabi yang disifatkan sebagai terkeluar dari ahli sunnah wal jama’ah dan sesat
  • Ahbash yang disifatkan sebagai ahli bid’ah yang berlagak soleh tetapi digambarkan mereka jika berterusan dalam amalan mereka lalu akan ke neraka.
  • Menghina nabi kerana mengggunakan hadis dhoif.
  • Khawarij hanya kerana terdapat pandangan dan tindakannya yang membangkang pihak pemerintah secara terbuka.
  • Ahli bid’ah kerana berzikir beramai-ramai dengan satu nada dan sebagainya.
  • Menjadi wahabi yang sesat dan tajsim Allah, hanya kerana ketika solat mengangkang kaki lebih dari biasa, tangan di atas dada atau menggoyangkan jari.
  • Bermazhab Zahiri hanya kerana terdapat beberapa tulisan dan pandangannya yang cenderung kepada mazhab terbabit.
  • Syiah yang disifatkan sebagai kafir dan sesat hanya kerana terdapat luahan kecintaannya kepada ahli al-bayt.
Sahabat-sahabat yang dikasihi, Rasulullah bersabda :

ادرؤوا الحدود عن المسلمين ما استطعتم فإن كان له مخرج فخلوا سبيله , فإن الإمام أن يخطئ في العفو خير من أن يخطئ في العقوبة
Ertinya : Tolaklah (wahai hakim) pensabitan hukum hudud dari muslimin selagi kamu mampu, sekiranya di sana terdapat jalan keluar maka bebaskanlah dia, kerana sesungguhnya seorang pemimpin yang tersilap dalam memberikan kemaafan (tidak jatuh hukuman), LEBIH BAIK dari yang tersilap (dalam mengenakan hukuman kepada yang tidak bersalah)” (Riwayat Ibn Majah, kitab al-Hudud, no 5004, At-Tirmizi, kitab al-Hudud, no 1424)

Bayangkan tindakan Umar al-Khattab :

أتي عمر رضي الله عنه بامرأة قد حملت فادّعت أنها أكرهت فخلى سبيلها
Ertinya : Pernah dibawakan kepada Umar Al-Khattab seorang wanita yang mengandung tanpa nikah, wanita tersebut mendakwa ia dipaksa (dirogol) maka Umar terus membebaskan wanita terbabit (dari hukuman hudud) ( Riwayat Al-Baihaqi, 8/235)

Imam Ibn Qudamah pula menjelaskan terdapat yang mentakwilkan wanita tersebut hamil bukan disebabkan zina dan persetubuhan tetapi adalah disebabkan dimasukkan mani lelaki tersebut ke dalam kemaluannya. (Al-Mughni, 1/193)

Semuanya ini sepatutnya memberikan kefahaman kepada para ustaz/ah, ilmuan dan graduan agama agar jangan tergesa-gesa melabel, men‘cop’  dan menganggap seseorang yang berbeza pendapat dengannya atau alirannya dalam sesuatu masalah hukum sebagai wahabi, ahbash, syiah, bid’ah, khawarij, muktazilah, murjiah dan lain-lain label yang berat lagi boleh membawa kepada menyesat dan mengkafirkan.

Sedang dalam masalah yang lebih ringan dari kafir dan sesat iaitu hudud pun terdapat hadis di atas menasihatkan agar cuba mencari jalan, bersangka baik dan mentakwilkan apa yang dibaca dan didengari kepada yang lebih baik, seperti mungkin tersalah tulis, kesilapan penerbit dan editor, terlanjur kata, tersasul, terlebih emosi tanpa niat dan sebagainya yang boleh menghalang kita dari tergesa-gesa dari meletak sebarang label.

Malah label-label ini juga sama sekali tidak adil khususnya jika ia dilakukan disebabkan beberapa pandangan sahaja. Perlu diingat satu pandangan yang sama tidak semestinya SESEORANG ITU TERMASUK di dalam package mana-mana aliran. Banyak sekali kemungkinan bahawa seorang ilmuan itu hanya mentarjihkan satu pandangan yang mungkin sama dengan aliran yang ‘digelar wahabi’ tetapi dia sama sekali tidak pernah mentajsimkan Allah, membid’ahkan amalan orang lain dan sebagainya. Namun akibat penyakit sangka buruk dan busuk hati, terdapat individu lain yang memasukkannya ke dalam label ‘wahabi’.

Tindakan itu samalah menuduh seorang yang tidak mentajsimkan Allah, sebagai melakukannya, bukankah itu akan memburukkan keadaan? hanya menyebabkan pihak yang dituduh akan kembali menyerang dan akhirnya berlakulah pertempuran, kutuk mengutuk dari generasi ke satu generasi.

'PACKAGE'  SUATU TEKNIK ‘JAHAT’ MENJATUHKAN PIHAK LAIN
Sama juga dengan individu yang sengaja mengatakan ‘tindakan menyertai demonstrasi aman’ atau membangkang tindakan dan kesalahan pemimpin sebagai khawarij. Persoalan wajar atau tidak demonstrasi & teguran terang-terangan bukan target artikel ini, tetapi saya mengambilnya hanya sebagai contoh, bagaimana hanya disebabkan seseorang itu menyokong bantahan terbuka terhadap pemerintah, lalu di cuba dinamakan dan dilabelkan sebagai khawarij. Sedangkan khawarij itu adalah satu kumpulan yang menentang pemerintah yang merupakan khalifah dengan jalan kekerasan atau menggunakan senjata. Khawarij juga mendakwa dosa-dosa besar menyebabkan kekafiran lalu mengkafirkan pemimpin yang melakukan dosa besar dan menghalalkan darah mereka. ( Rujuk Fiqh Al-Jihad, Al-Qaradawi, 1/200 dan 2/1030)

Adakah mereka yang membangkang ini seperti itu? Saya yakin tidak. Justeru mengapakah dengan mudah cuba untuk melabel dengan label seburuk Khawarij?

Sedangkan mungkin sekali mereka yang dilabel itu sama sekali tidak faham seluruh rukun, polisi dan asas gerakan khawarij yang dikatakan itu. Malangnya disebabkan sangka buruk dan teknik ‘tidak sihat’ dikalangan sebahagian ahli agama, setiap kali apabila mereka berbeza pandangan, mereka kerap mencari nama-nama dan label-label buruk serta diketahui jahat agar boleh dinisbahkan kepada pihak yang berbeza dengannya. Mungkin harapannya agar boleh ‘mematikan’ hujah dan sokongan terhadap pihak sebelah sana.
Justeru, adakalanya kita mendengar gelaran ‘Munafiq’, ‘sama seperti Yahudi’ dan lain-lain label yang boleh terus memburukkan seseorang ilmuan yang tidak dipersetujui itu. Inilah juga yang dialami oleh Syeikhuna Dr. Yusuf Al-Qaradawi, hanya disebabkan satu dua ijtihad beliau yang tidak disukai oleh sekumpulan pengkaji ilmu, beliau dituduh sebagai ulama kerajaan (padahal telah dibuang negara dan dipenjara oleh kerajaannya di Mesir), boneka, munafiq, bekerjasama dengan Yahudi dan Kristian dan lain-lain tuduhan tidak bertanggungjawab.

Nabi s.a.w bersabda :
سباب المسلم فسوق قتاله كفر
Ertinya : Mencela orang muslim itu suatu kefasiqan, dan membunuhnya adalah kufur ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim dari Ibn Mas’ud)

Biasanya, tindakan label melabel ini biasanya adalah hasil dari niat dan hati tidak baik pihak yang melabel kerana mahu segera mematikan kredibiliti mereka yang tidak sama fikiran dan pendapat dengannya. Agar orang awam terus boleh menjauhi mereka dan pandangan mereka sama sekali. Akhirnya ustaz-ustaz terus bertelagah dan orang awam berterusan keliru.
Sebahagian orang awam menjauhkan diri dan sebahagian yang lain mengambil keputusan untuk turut serta menyokong ustaz mereka.

Malanglah kita mempunyai keadaan graduan agama yang sebegini. Kali ini gejala negatif ini bukan hanya berlaku di kalangan graduan agama yang kurang cemerlang di universiti malah yang juga cemerlang. Tetapi mungkin terlalu hairan dengan kealiman sendiri dan terburu-buru, tidak memikirkan cara pelaksanaan dan ajakan kepada sunnah.

TERGESA-GESA INGIN MEMBAWA PERUBAHAN
Memang benar, sunnah itu jelas tetapi cara ajakan itu adalah terdiri dari hukum-hukum mutaghaiyyirat dan perlu mengambil kira keadaan dan kesediaan orang ramai. Mengajar orang ramai dan awam secara tergesa-gesa tanpa proses lunak dan tadarruj hanya mencipta orang awam yang keliru dan merasa layak untuk berfatwa sendiri, merujuk ayat dan hadis  secara sendirian, lalu semakin mudahlah dia tersesat jalan.
Lihat bagaimana Rasulullah membatalkan hasrat baginda untuk mengubah binaan Ka’abah kepada asas yang didirikan oleh Nabi Ismail a.s disebabkan melihat umat Islam di ketika itu belum bersedia untuk Ka’abah diperlakukan sedemikian. Rasulullah bersabda kepada Aisyah :

لو لا أن قومك حديثو عهد بشرك لبنيت الكعبة على قواعد إبراهيم
Ertinya : Sekiranya tidaklah kaummu itu baru-baru sahaja (keluar) dari zaman syirik (menyembah berhala) nescaya sudah tentu akan ku bina semula Kaabah di atas binaan asal nabi Ibrahim ( Al-Bukhari & Muslim)
Demikian juga lunaknya baginda nabi s.a.w. ketika baginda menegur seorang sahabat bernama Mu’awiyah Al-Hakam yang bercakap di dalam solat, Muawayiah menceritakan walaupun sahabat-sahabat lain marah-marah dan membuat pelbagai isyarat keras kepadanya, namun sesudah solatnya, baginda hanya menerangkan kepadanya tanpa menyakitinya, memukulnya atau mencelanya, baginda bersabda

إن هذه الصلاة لا يصلح فيها شيء من كلام الناس , إنما هو التسبيح والتكبير وقراءة القرآن
Ertinya : Sesungguhnya ini adalah solat, dan tidak boleh didalamnya kecuali tasbih takbir dan bacaan al-Quran” ( Riwayat Muslim)

KESIMPULAN
Sebenarnya banyak lagi hasil pemerhatian yang ingin dikongsikan, cuma cukuplah sekadar itu buat dahulu masa ini. Itupun belum tentu ingin dibaca oleh graduan-graduan agama yang asyik bertelagah ini, mungkin disebabkan saya bukan dari aliran mereka, malah saya bukan dari mana-mana aliran. Salafi tidak memasukkan saya sebagai manhaj salafi, khalaf juga menolak saya dari kalangan mereka.
Atau dalam bahasa mudahnya:

“Pendokong Wahhabi tidak menganggap saya dari kalangan mereka kerana saya tidak membid’ahkan amalan orang lain, pendokong khalaf juga tidak menganggap saya dari kalangan mereka kerana tidak membantai Wahhabi.”
Atau mereka bakal menolak tulisan ini kerana saya bukan graduan dari universiti yang mereka hormati..
Sebab itulah saya menyatakan kita perlukan seorang graduan cemerlang dari pelbagai universiti dan Negara sebagaimana yang disebutkan di dalam artikel sebelum ini. Semoga beliau kelak mampu meredakan pertelingkahan merugikan ini.

Lebih menyedihkan, sehingga sampai satu tahap kebencian di antara mereka ini, ada yang cuba memalukan antara satu sama lain memalukan dengan mencela kelulusan agama, wajah, tubuh, dan cuba pula memalukan keluarga pihak yang dibenci itu. Adakah ini merupakan amalan sunnah dan boleh menghampirkan diri kepada Allah?

Paling menyedihakan, sudah sampai satu tahap dimana perpecahan ini mengakibatkan satu pihak mengharapkan kematian pihak yang tidak sependapat dengannya atau bergembira dengan kematian individu tidak sependapat dengannya (jika berlaku).

Seringkali saya cuba mengingatkan diri dan sahabat-sahabat awam yang mula berjinak dengan mana-mana kumpulan dan aliran agar segera sedar tipu daya Syaitan ini. Syaitan sedang cuba membelit kita, kononnya berjuang untuk kesucian agama dan sunnahnya tetapi rupanya terpedaya dengan syaitan sehingga menggadaikan larangan qati’e yang ditegah oleh Allah dan rasulNya iaitu  sangka buruk, mengadu domba, merendah dan memperlekeh manusia serta mengumpat dan mencela orang lain. Sedang isu yang diperjuangkan 90 % antaranya adalah hanya isu yang bersifat zanni.
Berterusan sebahagian dari mereka melanggar larangan qat’ie kerana memperjuang arahan yang bersifat zanni?

Saya akui, saya sendiri mungkin tidak terlepas dari apa-apa inti yang disebutkan di atas dan dengan itu saya memohon keampunan serta beristighfar kepada Allah swt atas kelemahan-kelemahan diri. Sentiasa berusaha ke arah kesatuan dan sikap hormat menghormati yang lebih positif.

Saya memohon kemaafan jika sebahagian bahasa dalam tulisan ini menyinggung sesiapa dan aliran yang mereka dokongi tanpa hikmah. Tujuan dan harapan saya hanyalah untuk melihat sebuah kesatuan dan toleransi di kalangan ahli agama dalam bab yang cabang atau usul yang zanni serta bersepadu dalam membanteras yang sepakat salahnya sama ada isu cabang atau usul.
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow my page

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cheap international calls