SHOUT HERE

02 December 2011

MAHASISWA GENERASI-Y


Barangkali, perkataan ‘mahasiswa’ itu sudah biasa didengar, tetapi mengapa golongan ini dikaitkan dengan generasi Y? Siapakah generasi Y? Apa pula peranan bermakna kedua-dua golongan ini kepada masyarakat , negara dan dunia?

Mahasiswa boleh diertikan sebagai golongan yang melanjutkan pelajaran ke universiti. Generasi Y adalah generasi yang lahir antara sekitar 1970-an sehingga awal abad ke-20, yang juga dikenali sebagai ‘Generasi Milenia’. Secara ringkas, mahasiwa di universiti sekarang terdiri daripada Generasi Y. Jika dikira julat umur mereka pada masa ini, pasti sebahagian daripada mereka sedang menelaah dan ‘berpencak’ di institut-institut pengajian tinggi, sama ada dalam ataupun luar negara.

Tidak keterlaluan jika disebutkan bahawa selain diisi oleh pelajar antabangsa yang minor dari segi jumlah, generasi inilah yang menjadi penghuni dan pengguna majoriti sistem pendidikan negara, bermula daripada tadika sehinggalah ke universiti. Dalam konteks mahasiswa universiti, peranan mereka amat bererti dan ditagih oleh semua pihak.

Pergerakan dunia dan persekitaran di sekeliling kita sudah menjadi semakin rencam dan dinamik. Kemajuan dan kecanggihan teknologi membolehkan kita mendapatkan maklumat dengan hanya mengaplikasikan tetikus dan ‘keyboard’ di komputer atau di iPhone. Dunia semakin terbuka dan tiada sempadan. Ada yang menggambarkan perihal Generasi Y ini dengan tabiat yang akrab dengan aplikasi komunikasi, media (massa atau alternatif) dan teknologi. Faktor lain yang mempengaruhi tingkah laku golongan ini adalah perihal peristiwa yang berlaku, siapa pemimpin mereka, pembangunan keseluruhan, dan peredaran masa.

Mahasiswa dan Masyarakat
Mahasiswa sangat sinonim peranan mereka dengan kepedulian terhadap nasib masyarakat dan perjalanan negara. Sejarah sudah cukup membuktikan kuasa dan peranan mereka yang perlu diberi perhatian dan diambil pertimbangan oleh semua pihak. Bermula daripada reformasi pemikiran sehinggalah kepada pembelaan terhadap golongan mustadhafin, mahasiswa adalah nadi kepada semua ini. Mereka berperanan sebagai penunjuk arah, bagi gerakan dan pembangunan mahasiswa, universiti, masyarakat dan negara.

Walaupun apapun pengakuan, pengiktirafan dan penafsiran yang diberikan terhadap gerakan mahasiswa, hakikatnya ialah ia adalah satu proses yang amat dinamik dan progresif, sama ada kepada proses pembangunan universiti, masyarakat dan negara, atau sekurang-kurangnya kepada para aktivis dan pendokongnya. Maka, hal ini perlu dilihat dan dirakam dengan bijaksana.

Kontradiksi Cabaran Gen-Y

Sungguh, cabaran yang dihadapi oleh mahasiswa Generasi Y ini lebih terbuka dan kompleks sifatnya. Mereka mungkin tidak menghadapi krisis ekonomi dan kebuluran yang kronik, tetapi mereka berhadapan dengan krisis nilai dan keselesaan yang melupakan peranan dan membunuh kepedulian mereka. Keberadaan di universiti cukup sekadar untuk melengkapkan sekeping ijazah yang boleh membantu meningkatkan taraf hidup pada masa kini. Walaupun perkara tersebut tidak salah seratus peratus, namun terdapat perkara yang perlu diberikan perhatian oleh mereka, sekiranya diinsafi, iaitu untuk membina keperibadian dinamis, memerdekakan jiwa dan pemikiran, memimpin ummat dengan nilai-nilai sejagat dan menampilkan gagasan masa hadapan yang meyakinkan dan murni.

Sudah sampai masanya mahasiswa membuang dogma tipikal yang diberikan oleh sesetengah golongan kepada mereka. Namakan saja : ‘mangsa sistem’, ‘budak suruhan’, ‘mahasiswa yang tidak mahasiswa’, ‘pengia arahan’ dan lain-lain. Jika dogma itu terhasil akibat perihal majoriti mahasiswa (boleh jadi kerana sistem yang gagal), perlu ada segolongan mahasiswa yang berusaha memadamkan cetusan ini dan menampilkan citra mahasiswa yang sebenar dan asli.

Kemudahan dan akses untuk sebaran idea sekarang sudah terbuka, hanya menunggu untuk dimanfaatkan oleh mereka. Mahasiswa harus mencari ‘ubat yang mujarab’ terhadap ‘bius hedonisme’ dan bius-bius lain yang datang dari segenap arah. Sikap yang kritikal terhadap media massa perlu dipupuk dalam melahirkan mahasiswa yang mampu memanfaatkan kebaikan media yang ada sambil menapis unsur negatif yang datang betubi-tubi.

Berasaskan prinsip kebenaran dan semangat yang kuat, mahasiswa Generasi Y harus mengorak langkah menyatakan idealisme mereka dan menawarkan penyelesaian yang menyeluruh. Kehadiran mereka sebagai kuasa ketiga dalam landskap politik negara harus dilihat dari kaca mata yang positif. Pernilaian mereka bukan didasarkan kepada sentimen parti politik yang sempit, tetapi berasaskan hujah, nilai, prinsip kebenaran dan keadilan, ketelusan dan sifat meraikan golongan muda. Mereka perlu didekati dan difahami, bukan didoktrin dan dibuang daya berfikir serta potensi yang ada.

Pengimbang Antara Pemerintah dan Oposisi
Adalah menjadi suatu kesilapan besar kepada mana-mana entiti politik sekiranya mereka hanya mengaggap mahasiswa sebagai ‘macai’ dan alat untuk meraih sokongan. Peranan kuasa ketiga ini penting dalam mengimbangi status quo yang ada pada pihak pemerintah dan oposisi. Pihak pemerintah tidak lagi boleh berbuat apa saja, termasuk menzalimi rakyat sendiri dengan alasan untuk kemajuan negara. Pihak oposisi juga tidak harus mengabaikan peranan mahasiswa dalam memberikan idea dan teguran kepada kerajaan, dalam kerangka semua pihak untuk memacu kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara.

Sebagai kuasa ketiga, mahasiswa harus menjadi peneraju kepada model dan landskap politik yang murni, terbuka dan sihat. Tinggalkan saja apa-apa perkara yang menjadi asas politik kotor, tidak bermaruah dan jijik. Kerangka, governans dan idea yang ditawarkan harus berpaksi dengan politik hikmah yang holistik, mengutamakan nilai dan meraikan budi pekerti mulia. Jangan takut untuk membina hubungan atau ‘engagemant’ dengan mana-mana pihak, yang diasaskan atas prinsip kebenaran, untuk kebaikan negara dan penghuninya.

Generasi Y terdedah dengan keterbukaan perbahasan dan kebebasan akses maklumat. Kerap kali berlaku fenomena ‘second opinion’ pada masa kini. Jika perkara-perkara tersebut digandingkan dengan prinsip kebenaran yang holistik, mungkin ia boleh menjadi formula mahasiswa untuk memerdekakan jiwa dan pemikiran mereka, sejajar dengan Falsafah Universiti Kebangsaan Malaysia dan impian intelektual-intelektual ulung.

Hal ini sebenarnya yang menjadi falsafah asas kepada penubuhan universiti, iaitu sebagai tempat untuk mencari kebenaran. Tradisi kebebasan akademik, ketegasan intelektual, keluasan pengajaran, kedinamikan disiplin ilmu dan pengekalan nilai-nilai murni yang dipelihara di universiti harus dimanfaatkan sebaiknya kerana masa depan terletak nilai-nilai kritikal tersebut. Perubahan dunia yang semakin deras, persaingan yang semakin ganas dan tuntutan masyarakat yang semakin meningkat memerlukan mahasiswa mempertimbangkan kesemua perkara tersebut dalam visi dan perancangan mereka.

Gesaan Pembudayaan Ilmu
Maka, pembudayaan ilmu harus sebati dengan mahasiswa Generasi Y. Hal ini bukan bermaksud mahasiswa bersikap rigid terhadap perkara-perkara lain yang meraikan sifat tabii manusia seperti keperluan kepada kesihatan jasmani dan hiburan yang mendidik jiwa. Pembinaan budaya ilmu yang bersepadu adalah prasyarat awal dan terpenting bagi survival, kejayaan, kekuatan dan kebahagiaan seseorang ataupun negara. Pembudayaan ilmu bermaksud mahasiswa harus melibatkan diri dengan kegiatan ilmu sehingga segala tindakan mereka, baik di tahap individu atau pun kolektif, dipandu dan dilaksanakan berdasarkan ilmu.

Sudah tentu takrif ilmu itu sangat luas yang tidak terhad kepada bidang pengajian mereka sahaja. Dengan menghayati budaya ilmu, mereka pasti akan memuliakan ilmu dan menghayati pengamalannya dengan penuh keikhlasan. Konsep pendidikan sebenar yang menggabungkan formaliti pendidikan rasmi dengan fleksibiliti pendidikan yang tidak formal harus dikembangkan dan dibiarkan berakar umbi dalam masyarakat. Tdak slaah untuk kita yakin jika perkara dapat berjalan dengan jayanya, sebahagian isu-isu yang berkaitan dengan pengangguran dan kebolehpasaran graduan masa kini dapat diselesaikan secara sendirinya. Dalam merealisasikan agenda ini, reformasi pemikiran, cara bertindak dan budaya kerja sangat penting.

Cabaran terbesar bagi mahasiswa Generasi Y adalah persiapan mereka untuk menerajui dan menghadapi perkembangan dunia dengan kekuatan ilmu yang holistik dan benar, yang digandingkan dengan pandangan hidup yang jelas dan terarah, pemkikiran yang kritikal dan berwawasan, kekuatan idealisme dan keperibadian yang baik, keberanian melakukan perubahan dan menongkah arus tipikal serta idea dan langkah praktikal yang meyakinkan.

Pada zaman yang diwarnai dengan ‘contest of idea’ ini, mahasiswa Generasi Y perlu mencari dan mengadun rumusan terbaik dalam menghakupayakan kemampuan dan peranan mereka semaksimum yang mungkin dalam pengharapan ramai pihak supaya perubahan yang diharap-harapkan dipimpin oleh anak muda yang intelek dan berjiwa besar.

oleh: Ariff Misrol - UKM

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow my page

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cheap international calls