SHOUT HERE

25 August 2011

SOSIALISME ADALAH AGAMA BATIL.


Bersempena bulan kemerdekaan yang kita sedang lalui, dan ianya diberkati dengan ibadah wajib yang kita sedang laksanakan iaitu Berpuasa di bulan Ramadhan, saya berminat untuk menjelaskan sedikit sebanyak ideologi sosialisme ataupun tidak salah untuk saya ungkapkan sebagai agama yang batil. Wujudkah agama batil? Satu persoalan yang akan timbul bila mana anda membaca tajuk di atas. Ya, agama batil itu wujud dan tidak mampu dinafikan lagi. Sekali baca mungkin anda merasa keliru dengan istilah agama batil kerana kebiasaannya agama dikaitakan dengan wahyu samawi dengan sudah semestinya membawa penganutnya ke jalan yang benar. Jadi, apa yang dimaksudkan dengan agama batil? Menurut Harun Yahya di dalam bukunya bertajuk 'Jihad menentang agama batil', agama batil didefinisikan sebagai suatu konsep yang menolak agama sepenuhnya dan menafikan kewujudan Allah S.W.T.

Apa itu agama batil?
Kemudian persoalan lain mungkin akan timbul di fikiran anda, agama adalah suatu kepercayaan dan ianya mempunyai sumber rujukan dan utusan yang akan menyampaikannya kepada manusia. Apakah agama batil juga mempunyainya? Ya, agama batil juga mempunyai kitab dan utusannya juga. Kita akan memahami agama batil melalui ungkapan Harun Yahya dalam buku yang sama. 

"Di dalam buku ini, apa yang kami maksudkan sebagai agama batil adalah ideologi seperti  materialisme, komunisme, Darwinisme (asas saintifik bagi ideologi tersebut) dan beberapa sistem lain yang berasaskan kepada kemungkaran. Ini adalah kerana seiring dengan peredaran masa, semua anutan ini bertukar menjadi sebuah konsep yang lengkap dengan sistem dan praktik kepercayaan yang tersendiri. Bahkan, masing-masing memiliki pemimpin idola dan sumber rujukan yang kekal menjadi pegangan para pengikutnya. Agama batil yang tersebar begitu meluas dan menarik jumlah penganut yang besar dengan berusaha menjadikan ‘agama batil’ ini mengatasi dan menentang keadilan dan agama yang hak (iaitu Islam) secara berterusan dengan menerbitkan pelbagai buku dan artikel untuk menyebarkan propaganda dan sentimen sebagai suatu sokongan terhadap agama buatan mereka."  

Daripada apa yang diungkapkan oleh Harun Yahya, bahawa agama batil adalah suatu agama yang menentang Islam dan ia adalah suatu ideologi yang berteraskan kemungkaran dan sememangnya membawa manusia ke lembah kemusnahan. Setiap ideologi yang disebutkan beliau seperti Darwinisme, kapitalisme, komunisme, materialisme dan sosialisme adalah agama batil kerana ideologi ini walaupun berteraskan kemungkaran namun ada manusia yang mempercayainya dan menganutinya lantas memperjuangkannya. Malahan ideologi-ideologi di atas turut mempunyai pemimpin idola masing-masing. Contohnya ideologi Darwinisme, individu yang mengasaskannya ialah Charles Darwin yang mengemukakan suatu teori sains yang tidak dapat dibuktikan oleh  sains yang dipanggil sebagai TEORI EVOLUSI. Teori yang diasaskan oleh beliau jauh daripada berlandaskan penemuan saitifik yang tidak mampu dibuktikan melaluinya. Ianya cuma khayalan yang diindahkan dengan lukisan-lukisan yang berkait dengannya. Walaubagaimanapun saya tidak berniat untuk membahas panjang lebar ideologi ini dan anda sendiri boleh mendalaminya menerusi karya-karya tulisan Harun Yahya.

Ideologi Sosialsme
Sebenarnya, sosialisme wujud akibat daripada penguasaan harta dan kekayaan di kalangan golongan kapitalis. Saya boleh katakan bahawa idea sosialisme muncul akibat dari rasa tidak puas hati terhadap pendokong-pendokong kapitalis. Apabila saya meneliti buku bertajuk "MANUSIA DAN ISLAM" jilid yang ketiga, di mana ketua panel penulis ialah Dr Haron Din, saya mendapati sejarah mencatatkan pada abad ke-19 atau dikenali sebagai abad penjajahan yang dikuasai oleh negara-negara seperti Inggeris, Perancis, Belanda, Portugal, Sepanyol dan Belgium golongan kapitalis telah menjadi Raja dengan mengaut segala keuntungan daripada kekayaan hasil negara-negara jajahan dan menjadikan penduduknya sebagai hamba yang dinafikan hak memiliki harta dan kebebasan. Golongan kapitalis berasa puas dan senang apabila memperhambakan bangsa dan negara yang dijajah oleh mereka asalkan kekayaan mereka tetap bertambah. 
Apabila golongan yang ditindas melihat ketidakadilan ini sehingga menafikan hak mereka untuk memiliki kekayaan dan merasai nikmat hidup di dunia serta kebebasan maka muncullah teori yang dipanggil sebagai sosialisme yang bertujuan menghapuskan hak milik persendirian golongan kapitalis dan membataskan kebebesan mereka. Menurut fahaman sosialis ini, hak milik yang banyak dan kebebasan individu (golongan kapitalis) yang tidak terbatas sedangkan kebebasan golongan bawahan dinafikan dan hanya menjadi hamba mereka akan membawa kepada kesan buruk dan kemusnahan dalam masyarakat dalam negara dan dunia.
Teori ini juga berpendapat bahawa manusia boleh memilik harta sekadar yang diperlukan sahaja dan mengikut jasa yang disumbangkan kepada masyarakat. Manakalah harta yang lain/lebihan yang ada pada individu hendaklah diserahkan kepada negara. Manakala negara dianggap sebagai perbendaharaan umum yang menjadi tempat berkumpulnya harta benda dan kejayaan. (Manusia dan Islam; Konsep Sosialisme terhadap hak milik dan harta benda)
Sebenarnya, ideologi sosialisme lahir dariapada ideologi komunisme dan orang yang paling giat mengerakkanya ialah Karl Marx pengarang buku Das Kapital. Golongan sosialisme telah berpecah dua golongan iaitu yang pertama ialah Marxis Leninis yang pendapatnya dianuti di negara Russia dan kemudiannya di negara China. Manakala golongan yang kedua ialah golongan sosialis demokratik dan inilah yang dianuti oleh Parti Buruh di Britain. Karl Marx merupaka seorang bangsa Jerman  dari keturunan Yahudi dan dilahirkan pada tahun 1818. Namun beliau terpaksa meninggalkan Jerman kerana bukunya mengenai sosialisme dan berhijrah ke Adies dan di sanalah dia bertemu dengan kumpulan buruh dan menyebarkan fahaman sosialisnya. Dia kemudian bertemu dan bersahabat baik dengan Friedrich Engels. Di Parislah mereka berusaha untuk mempraktikkan ideologi yang mereka asaskan. Saya petik daripada buku tulisan Harun Yahya yang menjelaskan hubungan baik Karl Marx dan Friedrich Engels serta dasar kepada ideologi sosialisme-komunisme yang mereka asaskan.

Para penyokong terkemuka materialis dan ahli falsafah ateis yang berjuang untuk menyebarkannya ke seluruh dunia, seperti yang dinyatakan oleh Johnson, menganut teori evolusi Darwin hanya kerana ia menyediakan sebuah asas yang didakwa saintifik untuk ideologi mereka. Hal ini telah diperhatikan sejak teori evolusi pertama kali dikumandangkan. Karl Marx, pengasas materialisme dialektik yang memusuhi agama sering menekankan nilai kepentingan teori ini terhadap ideologinya. Dalam sepucuk surat yang ditulis Marx untuk sahabat karibnya Engels, beliau menjelaskan pendapatnya mengenai Darwinisme:

... ini adalah buku yang mengandungi asas di dalam sejarah semulajadi untuk pandangan kita.

Dan selepas membaca buku Darwin, The Origin of Species, Friedrich Engels mengulas:

Teori kita adalah teori evolusi, bukanlah sebuah dogma yang dihafal dan diulang secara mekanikal.

Seorang profesor botani berbangsa Amerika, Conway Zirkle menerangkan mengapa para pengasas komunisme, Marx dan Engels begitu taksub mengagungkan Darwinisme:

Marx dan Engels dengan segera menerima evolusi setelah Darwin menerbitkan The Origin of Species. Evolusi sudah pasti merupakan apa yang amat diperlukan untuk menerangkan bagaimana kewujudan manusia tanpa campurtangan sebarang kuasa ghaib, dan hasilnya ia dapat digunakan untuk menyokong asas falsafah materialistik mereka. Sebagai tambahan, tafsiran Darwin mengenai evolusi bahawa evolusi adalah terhasil melalui tindakan piihan semulajadi memberi mereka sebuah hipotesis lain berbanding penjelasan yang lazimnya bersifat tauhid, mengenai fakta yang terlihat bahawa seluruh bentuk hidupan beradaptasi kepada persekitaran mereka. Sebenarnya, pilihan wajar memudahkan usaha mengugurkan ketauhidan sepenuhnya dan kemuncaknya, para saintis dapat menerangkan dunia organik di dalam istilah materialistik.

Apa yang jelas dari kenyataan di atas, punca utama mengapa Marx dan Engels memberi sokongan terhadap Darwin ialah rasa kebencian mereka terhadap agama. Ini adalah sebab mengapa mereka berpegang teguh ke atas mekanisme yang tidak memiliki sebarang nilai saintifik dan yang pada asasnya adalah merupakan khayalan imaginasi. Sesungguhnya, Friedrich Engels menjelaskan di dalam bukunya mengenai kepentingan teori evolusi:

Dia [Darwin] meranapkan konsep metafizikal dengan buktinya bahawa dunia organik hari ini, tumbuhan, haiwan dan termasuk manusia adalah hasil sebuah proses evolusi yang berlangsung sepanjang berjuta-juta tahun.

Apa yang jelas, Engels juga melakukan kesilapan dengan menganggap bahawa teori evolusi memberi sebuah penjelasan tentang kewujudan berjuta-juta jenis organisma hidupan di muka bumi. Engels bukanlah seorang yang hanya mempercayai bahawa teori Darwin merupakan sebuah fakta yang sahih tetapi juga Joseph Stalin, pemimpin komunis paling kejam dalam sejarah, juga turut menekankan kepentingan teori evolusi ini di dalam autobiografinya:

Untuk membersihkan minda penuntut seminar kita mengenai mitos bahawa bumi diciptakan dalam enam hari, kita harus berkenalan dengan asal usul geologi dan usia bumi, dan mampu membuktikannya dengan agumen; kita harus membiasakan diri kita dengan pengajaran Darwin. 

Setelah kita mengetahui asal usul fahaman sosialis dan secara langsung mengetahui fahaman komunisme kerana pengasasnya dari orang yang sama, kita dapat mengenal pasti punca dan tujuan ideologi sebegini diasaskan. Daripada petikan dari tulisan Harun Yahya di dalam bukunya bertajuk 'Jihad menentang agama batil', sebab utama munculnya ideologi ini adalah kerana tidak mempercayai adanya Tuhan dan menolak kepercayaan berbasarkan Tauhid. Ini menunjukkan bahawa fahaman-fahaman sebegini merupakan suatu agama juga namun ianya adalah agama yang batil dan menyesatkan.

Sebagai penutup, saya akan menenjelas serba-serbi kandungan ideologi sosialisme ini yang saya rujuk dalam buku Manusia dan Islam;

1. Orang sosialis tidak memikirkan soal akhirat dan bagi mereka apa yang penting ialah menjaga harta mereka supaya tidak sampai ke tangan golongan yang menindas (golongan kapitalis) yang akan mendatangkan kemudaratan kepada majoriti.
2. Semangat mereka terhadap nasionalisme amat tinggi kerana bagi mereka, undang-undang yang berkuasa untuk mengawal tindak-tanduk manusia ialah datangnya daripada undang-undang negara. Mereka juga menjadikan negara sebagai simbolik mereka.
3. Golongan sosialis tidak memikirkan soal pengabdian kepada Allah SWT kerana bagi mereka dunia adalah penting dan perlu mereka menjaganya daripada dirampas oleh golongan penjajah dan penindas. 
4. Sosialime membataskan pemilikan harta perseorangan sampai kepada penghapusan hak milik sama sekali bergantung kepada jasa mereka kepada masyarakat dan negara. 
5. Golongan sosialis tidak menghiraukan soal riba dan turut terjebak dengannya.

Wallahu 'alam...

Pemuda Umar
25 ogos 2011
22:29



0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow my page

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cheap international calls