SHOUT HERE

24 April 2011

Nasihat Secara Bijaksana Mengeratkan Hubungan Silaturahim


Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu sekalian mempersekutukan dengan sesuatu. Dan berbuat baiklah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahaya”. (Surah An-Nisa’ : Ayat 36)

Daripada Abu Muhammad Muth’im, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan masuk syurga orang yang suka memutuskan hubungan silaturahim”. (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Menghubungkan silaturahim adalah perkara wajib dan memutuskannya adalah haram dan termasuk dalam orang yang mendapat laknat Allah SWT. Justeru, berusaha berbuat baik kepada sesama manusia seperti memberi hadiah, menziarahinya, mendoakannya dan sebagainya. Apa gunanya kita melaksanakan solat tetapi pada masa yang sama kita memutuskan hubungan silaturahim.

Dalam sebuah hadis, daripada Abdullah bin Amr bin al-‘Ash daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: Orang yang menghubungkan silaturahim bukan orang yang memberi jaminan, tetapi orang yang menghubungkan silaturahim adalah orang yang apabila kaum kerabatnya memutuskan hubungan maka ia menyambungnya. (Hadis Riwayat al-Bukhari)

 
Daripada Abu Hurairah bahawasanya ada seseorang berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya mempunyai beberapa saudara yang saya menghubungkan tali persahabatan dengan mereka tetapi mereka memutuskan tali persahabatan dengan saya. Saya berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berbuat jahat kepada saya. Saya selalu berlembut ramah kepada mereka tetapi mereka tidak mengendahkan”. Baginda SAW bersabda: “Seandainya kamu benar-benar seperti apa yang kamu katakan, maka seakan-akan kamu menelan abu yang sangat panas kepada mereka. Dan Allah SWT akan selalu memberi pertolongan kepadamu atas perbuatan mereka selama kamu tetap berbuat demikian”. (Hadis Riwayat Muslim)

Adapun sikap manusia yang melakukan perkara tidak baik itu, maka tegurlah dengan cara yang berhemah dan berhikmah. Sesungguhnya amalan nasihat menasihati sekiranya dilakukan dengan cara yang betul boleh mengeratkan hubungan silaturahim.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan cara yang bijaksana dan dengan tutur kata yang baik.” (Surah An-Nahl : Ayat 125)

Sebuah hadis daripada Abu Wail Syaqiq berkata: Ibnu Mas’ud biasa memberi nasihat kepada kami setiap hari Khamis, kemudian ada seseorang berkata kepadanya: Wahai Abu Abdurrahman saya amat senang hati kiranya engkau mahu memberi nasihat kepada kami setiap hari. Ibnu Mas’ud menjawab: Sebenarnya tidak ada yang menghalangi saya untuk memberi nasihat setiap hari melainkan saya bimbang kamu semua akan menjadi bosan. Saya sengaja menjarangkan waktu untuk memberi nasihat sepertimana Rasulullah SAW juga menjarangkan kepada kami kerana Baginda bimbang kalau kami merasa bosan.

Retrieved from http://sinar.cikedis.com/nasihat-secara-bijaksana-mengeratkan-hubungan-silaturahim

2 comments:

Muhammad Izzuddin said...

Assalamualaikum.

Setuju ngan ustaz.

Terkadang kerana beberapa silap sahabat kita, lalu sepantas kilat sikap kita terhadap mereka berubah, hanya kerana mereka salah dimata kita. Walhal, silap dan salah itu fitrah manusia, layakkah kita juga seorang manusia yang turut melakukan kesalahan terus menghukum insan yang khilaf tadi dengan hukuman yang langsung tidak setimpal iaitu terputusnya tali silaturrahim antara kita, Masya Allah.

Jelas. Tindakan kita 'menghukum' sahabat yang silap tadi jauh lebih salah dari kesalahan sahabat yang terlebih dahulu membuat kesilapan tadi.

Wallahua'lam. Nice blog. i luv.

MOHD MAHATHIR SUGUA said...

Betul kata ust izzuddin.

Menghukum saudara kita jauh lebih buruk dari kesilapan yang dilakukan oleh sahabat kita.

Boleh jadi kesilapan yg dilakukan oleh saudara kita itu membuatkannya lebih dekat dari Allah. Sedangkan tindakan sesetengah org yang menghukumnya hanya merosakkan hati dan 'amalnya sendiri.

Lebih teruk bila mana ada manusia yang suka menyerang peribadi saudara kita. Ini bukan sifat seorang mukmin.

Sabda Rasulullah,
"Tidak beriman salah seorang di antara kamu selagi mana dia tidak mencintai saudaranya seperti mana dia mencintai dirinya sendiri." (Salah satu dari Hadith 40)

Imam Hassan Al Banna menasihati bhwa serendah2 persaudaraan itu ialah bersangka baik terhadapnya dan setinggi2 persaudaraan itu ialah mengutamankan org lain dari dirinya. Dan itulah dinamakan sbgai Itsar. Tidak ada nilai selepas dari serendah2 itu.

Insya allah, moga Allah beri kekuatan utk kita beramal dengannya.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow my page

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cheap international calls