SHOUT HERE

22 December 2010

SIFAT LELAKI SOLEH



Hatinya sentiasa terpaut (teringat-ingat) kepada Allah swt. Merasakan segala ketaatan dan amal ibadahnya itu, bukan daripadanya. Sebaliknya itulah kurniaan Allah kepadanya. Apabila mendapat nikmat dan kesenangan, dia tidak leka dengannya tetapi hatinya terus terkenang kepada Allah yang memberi nikmat.
Sehingga dengan itu dia tidak pernah melupakan perintah syukur sebagaimana yang dinyatakan di dalam Al Quran dalam surah Al Baqarah ayat 172 yang bermaksud:

“Bersyukurlah kamu kalau betul engkau menyembahNya.”
Apabila didatangi dengan berbagai ujian tidak kiralah samada ujian besar mahupun kecil; bagaikan orang yang terkena kejutan elektrik; hatinya terus terkenang-kenang dosa-dosa yang telah dilakukan.
Hatinya berbisik,
Apakah ujian demi ujian yang datang itu untuk menghapuskan dosaku? Atau untuk mendidik diriku agar lebih soleh? “Wahai Tuhanku, kalau beginilah hukumanMu untukku di atas dunia ini, aku rela menerimanya dari diazab oleh api neraka yang amat pedih. Ampunkan dosa hambaMu ini ya Allah.”
Bila hati telah berkata begitu, tidaklah timbul rasa ingin mengadu ke sana dan ke mari atau mengeluh di atas segala kesusahan.
Redha terhadap setiap ujian yang datang. Dia tidak berani menyanggah atau mengkritik Allah swt. Sentiasa yakin dengan keadilan dan kebijaksanaan Allah di dalam menentukan setiap hal yang berlaku. Atas dasar itu dia menerima berbagai rintangan dan halangan itu dengan lapang dada.
Malah hati yang sudah cinta dengan Allah itu menjadikan setiap ujian yang datang, tidak dirasakan masalah lagi. Hatinya terhibur dengan mehnah yang datang kerana dia tahu itulah kasih sayang dan perhatian Allah swt kepadanya.
Semakin berat ujian yang menimpa diri, sekencang itulah juga ibadahnya kepada Allah swt. Sembahyang bertambah khusyuk dan semakin lazat dirasakan bermunajat kepada Allah swt. Dalam sepi malam dia bangun bermunajat kepada Allah swt, memohon dibukakan tabir keampunan dan kerahmatan. Pada siang harinya disibukkan diri dengan kerja-kerja yang bermanfaat pada diri dan masyarakat sementara segala masalah yang dihadapi cuba dilupa-lupakan.
Tidak sedikit pun melayan kejahatan-kejahatan nafsu dan prasangka buruk terhadap sesama manusia. Kerana dia tahu nafsu dan syaitan tidak pernah berputus asa untuk mengajak kepada kemungkaran. Allah swt telah mengingatkan di dalam firmanNya:
“… karena sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan.” (Yusuf: 53)
Ketika datang bisikan-bisikan nafsu yang meruntun diri supaya berbuat jahat seperti hasad dengki kepada jiran tetangga atau orang lain, berburuk sangka terhadap kawan, bermasam muka, mengumpat dan sebagainya; cepat-cepat ditepiskan bisikan menipu itu.
Dia sedar, sekali diri berbuat dosa, akan bertapaklah bintik-bintik hitam di hati, menyebabkan hati akan semakin keras bak batu sungai yang sukar dipecahkan. Rasulullah saw bersabda:
“Bila seorang hamba membuat dosa terjadilah satu bintik hitam di hatinya dan kalau bertambah dosanya bertambahlah bintik-bintik hitam itu.”
Sabda baginda yang lain:
“Orang yang membuat dosa hilanglah sebahagian akalnya untuk tidak kembali lagi selama-lamanya.”
Tidak pernah terfikir atau merancang untuk menyakiti hati orang lain lebih-lebih lagi ibu, ayahnya, jiran tetangganya, sahabatnya sekalipun dirinya sendiri. Patuh terhadap arahan ibu dan ayah dan suka menunaikan permintaan daripada sesiapa jua, tanpa banyak soal.
Bukanlah kehidupannya untuk mencari pangkat dan nama kerana dia tahu di atas dua tiket inilah yang membawa manusia rakus dengan dunia sehingga sanggup berbuat apa sahaja untuk mencapainya. Sebaliknya, dia menjadikan seluruh kehidupan ini untuk mencari kerdhaan Allah swt semata-mata.

Hanya orang yang membawa hati yang tenang dan sejahtera sahaja yang akan selamat menemui Allah di akhirat kelak. Maka berdoalah kita selalu semoga diberi cahaya keimanan, cahaya bagi segala cahaya yang tiada tolok bandingnya yang bakal memberikan laluan lurus untuk selamat menuju Tuhan yang Maha Agung. Aminn…

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow my page

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cheap international calls