SHOUT HERE

15 March 2010

NUKILAN BUAT ADIK-ADIKKU…

Assalamu’alaikum buat adik-adikku; Putri Purnama bte Sugua dan Suriyana Jaya bte Sugua. Abg berdoa kepada Pemilik alam ini, Pencipta seluruh alam semesta ini, Yang Menghidupkan dan Mematikan, Yang berkuasa memberi Hidayah kpd insan yang dikasihi-Nya dan juga Raja kepada raja-raja yang ada di muka bumi ini dan seluruh alam semesta agar adik sentiasa berada di Rahmat-Nya sepanjang kehidupan ini.

Adik-adiku, abg berpesan kepadamu agar bertaqwalah kpd Allah S.W.T kerana DIA-lah yang menciptakanmu dari setitis air yang kotor. Wahai adik-adikku, abg juga berpesan agar engkau tunaikanlah segala perintah-NYA. Jangan sesekali engkau sombong kepada-NYA. Jangan wahai adikku… abg tidak mampu menolongmu di akhirat kelak kerana abg juga akan diperhitungkan di hadapan Allah. Adikku, ketahuilah bahawa hidupmu di dunia ini bukanlah untuk bersuka-suka ataupun bersenang lenang. Abg bersyukur kepada Allah kerana DIA mengurniakan kita kehidupan yang sederhana ini. Abg khuatir apabila Allah memberikan kita kesenangan akan membuat kita lupa pada-NYA. Lebih malang lagi apabila kita sombong kepada-NYA.

Aduhai adikku, siapalah kita di hadapan Allah S.W.T. Sungguh, kita tak bernilai wahai adikku. Allah tidak membutuhkan kita sedikitpun, namun kitalah yang sangat-sangat membutuhkan-NYA. Bersyukurlah wahai adikku, Allah mengurniakan kita nikmat Iman dan Islam. Tanpa kedua-duanya, binasalah kita di akhirat kelak. Wahai Adik-adikku, engkau telah pun baligh. Semestinya auratmu itu engaku jaga. Jangan engkau biarkan auratmu itu dilihat oleh mereka yang bukan mahram. Ingatlah adik-adikku, siksa pedih menanti bagi mereka-mereka yang suka menayangkan auratnya. Adik-adikku, Ibu bapa kita berhempas pulas bekerja untuk menyekolahkan kita, seharusnya engkau bersyukur atasnya. Oleh itu, salah satu cara untukmu membuktikan rasa syukur itu ialah engkau melakukan menurut apa yang guru-guru kamu ajar. Jika guru-guru itu mengajarmu bagaimana untuk menutup aurat, maka ikutilah. Jangan engkau jadi seperti si malang itu. Iaitu mereka yang ada ilmu tapi ilmu itu tidak memberi manfaat kepada diri mereka sendiri. Kerana apa? Kerana mereka sombong tehadap diri mereka sendiri. Ingat wahai adik-adikku, kita menuntut ilmu adalah untuk manfaat diri kita dan orang lain di samping mendapat keredhaan dari Ilahi.

Wahai adik-adikku, tunaikanlah solat. Kerana solatlah yang akan menghubungkan kita dengan Pencipta kita. Masihkah kamu ingat apabila guru-guru kita berpesan kepada murid-muridnya bahawa solatlah yang akan mula-mula dihitung. Andai baik solatnya, maka baiklah seluruh amalannya. Jika tidak, maka buruklah segala amalannya dan binasalah dia. Jangan engkau jadikan alasan bahawa engaku masih tidak mengerti untuk menunaikannya. Carilah ustaz/ustazah di sekolah yang boleh mengajarkanmu cara bersolat. Jangan engkau takut bertanya, kelak engkau akan sesat.

Adikku, Masihkah kau ingat ketika ibu kita berdoa kepada-NYA agar kita berjaya kelak. Abg bersumpah, tanpa doa dari ibu, abg tidak akan sampai ke tahap ini. Jika dibandingkan usaha abg dengan pencapaian abg sekarang, adalah sangat tidak mencukupi. Tapi berkat doa ibu yang membawa abg sampai ke negeri utara ini untuk menuntut ilmu. Abg sangat-sangat berharap agar abg dapat menuntut ilmu agama di bumi Syiria selepas ini. Oleh itu adikku, hormatilah kedua orang tuamu, taatlah akan segala perintah mereka kecuali apabila melanggar syariat Islam. Tunaikanlah segala apa yang mereka pinta walau sampai memberatkanmu. Ingat adik-adikku, beratmu dalam melaksanakan perintah ibu-bapamu tidak setimpal dengan beratnya ketika ibumu melahirkanmu. Juga tidak setimpal dengan dengan penat lelah bapa kita mencari rezeki buat kita. Jangan sesekali engkau mengatakan “ah” atau “ish” kepada mereka. Kerana itu akan membuat mereka kecewa terhadapmu. Ketahuilah adik-adikku bahawa keredhaan Allah itu bergantung kepada keredhaan ibu-bapa kita. Jangan engkau harapkan keredhaan Allah jika ibu-bapamu tidak redha terhadapmu. Sabarlah atas segala karenah mereka sebagaimana mereka bersabar terhadapmu ketika engkau masih bayi. Mereka sanggup bangun malam semata-mata untuk membersihkan najismu, menyusukanmu, membelaimu dan melindungimu dari haiwan yang membahayakan. Ingatlah adik-adikku, suatu hari nanti engkau akan berada di tempat mereka. Oleh itu, kasihlah kepada mereka agar anak-anakmu kelak mengasihimu. Abg tidak mahu engkau menyesal di kemudian hari.

Wahai adik-adiku, hanya itu yang abg mampu sampaikan kepadamu. Mudah-mudahan engkau dapat mengambil pengajaran dari apa yang abg sampaikan ini. Segala apa yang abg perkatakan di atas adalah luahan hati abg sendiri. Ketegasan abg selama ini bukan bermaksud memusuhimu. Tetapi kerana menyayagimu. Abg apakah itu yang membiarkan adik-adiknya dalam kebinasaan? Abg memohon maaf atas segala kesalahan abg terhadapmu selama ini. Ketahuilah, abg amat menyayagi kamu. Abg berharap agar engkau menjadi seorang muslimah yang bertaqwa kelak.


Yang benar;
Mohd Mahathir bin Sugua
01:21 am, 15 March 2010
Sungai Petani, Kedah Darul Aman.




0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow my page

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cheap international calls