SHOUT HERE

16 March 2010

Intelek tinggi ke langit, Akhlak gugur menyembah bumi

Daripada Umar Ibnu Khattab r.a; Bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda,

"Segala amal itu tergantung pada niatnya, dan setiap orang mendapat sesuai dengan niatnya. Maka barang siapa yang hijrahnya kerana Allah dan Rasul-NYA, maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul-NYA. Dan barang siapa yang hijrahnya itu kerana kesenangan dunia atau kerana seorang wanita yang akan dikahwininya, maka hijrahnya itu kepada apa yang ditujunya"
(HR Imam Muslim dan Imam Bukhari)

Kalaulah mahasiswa itu niatnya menuntut ilmu semata-mata kerana mengharapkan keredhaan dari Allah S.W.T nescaya masalah keruntuhan akhlak itu tidak akan berlaku. Namun, apabila niatnya hanyalah untuk kesenangan dunia yang sementara seperti sanjungan, pujian, agar dipandang oleh orang lain, mahupun semata-mata untuk mendapatkan kerja yang baik maka tidak hairanlah hal itu berlaku di kalangan mahasiswa. Berapa banyak mahasiswa/i yang ditangkap basah oleh pihak universiti kerana melakukan seks luar nikah. Betapa banyaknya mahasiswa terlibat dengan aktiviti merempit, mengedar dadah, dan sebagainya.
Budaya hedonisme rancak menyerang golongan mahasiswa. Mereka diterapkan dengan hiburan-hiburan yang menglalaikan. Budaya coupling menjadi sebati di minda mahasiswa. Berdua-dua sesama bukan mahram, menyanjungi artis-artis, merempit, budaya black metal, semua ini sudah sebati dalam kehidupan sebahagian mahasiswa/i. Bukankah ini satu petunjuk kebinasaan terhadap golongan ini? Menurut saudara Dzulkhari (Mantan Presiden Gamis), beliau menulis di dalam blognya, "Agenda pragmatisme dan Darwanisme yang berorentasikan undang-undang rimba dipraktikkan di kampus-kampus supaya suburlah fahaman-fahaman yang bersimpang-siur dengan kerosakan budi". Ini bererti, fahaman-fahaman seperti sekularisme, hedonisme, liberalisme dan isme-isme yang lain disumbat ke dalam pemikiran mahasiswa agar hancurlah peribadi individu, meruntuhkan unit keluarga dan menghapuskan nilai-nilai yang berkait dengan agama.

Sebenarnya, agenda-agenda ini berkait rapat dengan kospirasi musuh-musuh Islam yang sememangnya sejak dari berkurun-kurun lamanya mereka ingin menghancurkan Umat Islam. Mereka telah meletakkan golongan mahasiswa sebagai salah satu sasaran mereka kerana bagi mereka sendiri, "apabila minda golongan mahasiswa ini berjaya di kuasai, maka dengan itu kita berjaya menghalang dari kebangkitan mereka." Perlukah kita berdiam diri dan hanya berdoa pada Allah agar rakan-rakan mahasiswa/i kita yang telah terjebak diberi hidayah? Jawapannya tidak, kerana Allah memerintahkan kita agar menyeru kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar.
Firman Allah S.W.T;
"Kamu adalah ummat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, yang menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada kepada Allah..." (Surah Ali Imran:110)

Satu pelan tindakan perlu dirangka bagi mengurangkan masalah ini dan seterusnya menghapuskannya dari terus dari bertapak di dalam kampus-kampus. Persatuan-persatuan yang bersifat syumul hendaklah melakukan gerak kerja seperti gerakan amar ma'ruf nahi mungkar bagi membendung gejala maksiat di kalangan mahasiswa, duduk semeja bersama pihak pengurusan universiti untuk mendapatkan persetujuan membendung masalah ini ataupun mengadakan program-program yang dapat memberi kefahaman kepada mahasiswa/i akan malapetaka yang yang mereka hadapi sekarang. Majlis Perwakilan Pelajar perlu memberhentikan program-program yang tidak mendidik jiwa mahasiswa. Tidak salah untuk berhibur kerana hukum bagi berhibur itu adalah harus. Sebabnya ia termasuk dalam ketegori kehendak manusia. Dan memang fitrah manusia yang inginkan hiburan dan berhibur. Namun, penulis ingin tekankan di sini bahawa apabila kita memilih bentuk hiburan yang salah maka hukumnya menjadi haram. Kerana melakukan sesuatu yang membawa kepada kemudaratan yang berpanjangan mahupun short term adalah tidak di benarkan sama sekali oleh Islam.

Dalam kita berusaha untuk membendung masalah ini, amat penting untuk kita kembali kepada pokok asas kehidupan kita. Iaitu kembali kepada ajaran Islam yakni menjadikan Islam sebagai cara hidup. Hanya Islam sahaja yang menyediakan panduan hidup yang menyeluruh kepada manusia. Panduan itu bukan hanya melibatkan perkara-perkara yang besar seperti hal-hal berkaitan pemerintahan negara, perundangan atau kehakiman, malah ajaran Islam mencakupi perkara-perkara yang kecil seperti adab masuk tandas, adab belajar, adab bersahabat, adab tidur dan lain-lain.

Mahasiswa tidak memahami sepenuhnya kehendak ajaran Islam. Mereka merasa cukup dengan hanya mengetahui soal-soal ibadah asas seperti solat, puasa, haji dan berzakat sahaja. Tapi sesetengah mahasiswa ada yang masih kabur terhadap tuntutan Islam. Sampaikan mereka sukar/tidak mahu membezakan antara baik dan buruk. Kefahaman terhadap segala tuntutan ajaran Islam perlu ada dalam setiap individu bergelar mahasiswa dan selainnya. Bila mana wujud kefahaman mengenai tuntutan Islam & tuntutan syahadah, pasti mereka tahu apa sebenarnya tujuan mereka diciptakan dan siapakah mereka sebenarnya serta apa amanah yang Allah telah pikulkan terhadap mereka.

"Dan tidak aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku" (Ad-Dzaariyyat: 56 )

Ayat dari Al-Quran di atas jelas menunjukkan bahawasanya jin dan manusia itu diciptakan oleh Allah SWT adalah supaya mereka (jin dan manusia) beribadah kepada Allah. Mungkin ada yang terfikir, "Allah menjadikan sehari 24 jam, mana mungkin kami perlu beribadah di masjid-masjid selama 24 jam? Siapa yang akan memberi makan dan minum kepada keluarga kami?"

Menjawab persolan ini, ingin saya mengajak anda semua kembali kepada prinsip-prinsip asas Islam. Terdapat empat (4) prinsip-prinsip asas Islam iaitu AQIDAH, IBADAH, SYARIAT & AKHLAK. Adakah anda semua faham apakah ibadah itu? Adakah ianya hanya merujuk kepada solat?zikir?membaca Al-Quran? atau selainnya. Jawapannya tidak, kerana segala apa yang kita lakukan di muka bumi ini adalah dikira sebagai ibadah sekiranya kita memenuhi beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Salah satunya ialah pekerjaan yang dilakukan itu mestilah diniatkan hanya semata-mata mengharapkan Redha daripada Allah SWT. Selain dari itu, pekerjaan yang dilakukan itu hendaklah tidak mendatangkan apa-apa kemudaratan sebaliknya hendaklah memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain. Keluar dari rumah mencari rezeki juga adalah ibadah, menuntu ilmu itu pun dikira sebagai ibadah, malah tidur pun dikira sebagai ibadah. Asalkan niat yang benar dan memenuhi syarat-syarat yang lain. Islam itu tidak sukar. Kecuali bagi orang-orang yang suka menyukarkan hidupnya dengan melakukan kederhakaan terdapat Penciptanya.

Persoalan seterusnya ialah siapa kita sebenarnya dan apakah amanah yang Allah telah pikulkan kepada manusia sekalian. Allah S.W.T berfirman:

"Dan ingatlah ketika Tuhanmu(Allah SWT) berfirman kepada para Malaikat,
Sesungguhnya AKU akan menjadikan khalifah di muka bumi (Adam). Para malaikat menjawab: Adakah patut Engkau menjadikan atas muka bumi orang yang akan melakukan bencana dan menumpahkan darah, sedangkan kami bertasbih memuji Engkau dan menyucikan Engkau?"Allah berfirman,"Sesungguhnya Aku mengetahui apa-apa yang tidak engkau ketahui." (Al-Baqarag:20)

Wahai rakan-rakan mahasiwa/i sekalian, penciptaan kita di muka bumi ini adalah untuk menjadi khalifah dan memakmurkan bumi ini dengan syariat Allah. Andai kita leka, nescaya kita kita akan dipersoalkan dan kemudian akan dipertanggungjawapkan. Adakah kita telah bersedia merasai dasyatnya siksa NERAKA itu?

Renung-renungkanlah...
"Sesungguhnya, hidayah itu milik Allah dan DIA berkuasa memberikannya kepada mereka yang di kasihi-NYA. Namun hal itu, tidak menjadi penghalang kepada manusia agar sentiasa berikhtiar dan berusaha mendapatkannya. Ingat! Jangan tunggu hidayah Allah datang, tapi kejarlah ia walau sampai engkau merangkak sekalipun"
-Mahathir-

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow my page

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cheap international calls