SHOUT HERE

31 March 2010

Dia ada mata, tapi dia membuta...Dia ada telinga, tapi dia memekak dan dia juga ada mulut, tapi dia membisu???


Setiap manusia melihat sesuatu kejadian itu dari sudut yang berbeza,
Ada yang melihatnya sudut yang negatif,
dan ada juga yang melihatnya dari sudut yang positif,
Tidak kurang juga mereka yang gemar mencari kesilapan orang lain
Lalu ia memperbesarkannya,
dan orang lain memandang serong terhadap si mangsa itu.
Walaupun hakikatnya si mangsa itu cuba untuk mencegah kemungkaran,
tapi kerana hati orang yang suka mencela itu telah mati
maka, semuanya menjadi fitnah.

Bait-bait di atas hanyalah tafsiran saya terhadap segelintir hamba Allah. Bukanlah diri ini mahu menghukum seseorang itu, akan tetapi, diri cuba untuk memahami cara manusia yang sememangnya pelbagai. Saya tidak menafikan bahawa setiap orang mempunyai kaedah penilaian tersendiri. Saya juga mempunyai cara yang tersendiri. Kadang kala saya menjadi hairan dan sedikit lucu apabila berhadapan dengan beberapa insan yang kurang pemahamannya terhadap sesuatu perkara itu, tetapi dia bersungguh-sungguh untuk membahaskannya. Hal itu mengingatkan kepada saya mengenai satu pepatah ulama, yang berbunyi "orang yang bodoh itu ialah orang yang berdebat tetapi dia tidak tahu yang dia perdebatkan itu".

Terdapat ramai yang mempertikaikan tindakan saya dan tidak kurang pula yang menyokong perbuatan saya. Bagi saya itu adalah satu lumrah dalam kita mencegah kemungkaran. Di manapun kita saya berada, siapapun saya, bila bertindak atas kapasiti surah ali imran ayat 104, pasti akan ada orang mempertikaikan. Walhal Nabi SAW juga yang terkenal dengan sifat Al-Amin di kalangan kaum kafir Quraisy turut mendapat tentangan apabila BAGINDA menyampaikan Islam. Itulah dikatakan sebagai sunnah orang berjuang. Tidak dikatakan da'wah itu apabila tiada ujian dan tentangan.

Apabila saya membahaskan kejadian tempoh hari yang mana bagi saya ia merupakan satu tranformasi dari satu tahap ke tahap yang seterusnya. Percaturan Allah itu cukup sempurna dan saya sebagai hanbanya, sedar akan peranan saya sebagai da'ie. Sebenarnya, untuk menyeru kepada perkara ma'ruf dan mencegah dari perkara mungkar tidak memerlukan lesen dari sesiapa. Allah S.W.T yang memberi kebenaran kepada hamba-hamba-NYA yang beriman agar menyeru kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran. Apa yang penting, perkara yang hendak disampaikan itu mestilah yang benar!

"Abang sepatutnya menggunakan cara yang berhikmah masa tu..."

Itulah luahan salah seorang hamba Allah yang kurang berkenan dengan tindakan saya. Sebelum saya membahaskan termonologi "berhikmah", suka saya bertanya kepada orang lain. Soalan saya, bagaimana kamu mendefinisikan perkataan "hikmah" itu. Mungkin ada yang mendefinikannya sebagai satu tingkah yang lemah lembut ataupun ada juga yang mengatakan berhikmah sebagai tingkah laku yang bersesuai dengan persekitaran. Pendirian saya terhadap "cara berhikmah" itu ialah mestilah bersesuaian dengan persekitaran. Berhikmah itu bukan hanya terbatas dengan kata-kata yang lemah lembut. Akan tetapi, andai kata hukuman adalah cara yang terbaik pada masa itu, maka itulah yang dikatakan sebagai cara yang berhikmah. Hal ini memerlukan pertimbangan yang rapi. Andai kata kita hendak mencegah kemungkaran dengan cara yang berhikmah, kita perlu terlebih dahulu melihat keadaan sekeliling dan siapa sasaran kita. Kata senior saya, "mesti ikut flow".

Namun, yang menjadi persoalan saya sekarang ini ialah terhadap segelintir insan yang suka mencari kesalahan orang lain. Pelik, mereka merasa tidak puas hati terhadap tindakan saya itu akan tetapi pada kejadian tersebut mereka turut berada di sana dan tidak pula mereka bertindak. Boleh jadi mereka juga terlibat/menyokong sama kemungkaran itu. Mereka asyik menyalahkan saya atas tindakan tersebut tetapi mereka tidak memikirkan apa yang mereka patut buat. Allah SWT telah mengurniakan mereka jawatan, akan tetapi mereka seolah-olah menjadi buta, bisu, dan pekak pada masa itu walhal mereka itu faham agama dan tahu halal-haram. Tidakkah mereka merasa takut bahawa mereka akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT mengenai peranan mereka. Sungguh, amanah itu amat berat.

Saya bukanlah seorang yang anti-hiburan dan tidak pula mengharamkan semuanya. Tidak semua hiburan itu haram, dan tidak semua pula hiburan itu halal. Selagi mana hiburan mengikut syariat Islam, selagi itulah hiburan tersebut menjadi halal. Andai kita tersalah pilih bentuk hiburan, maka haramlah jadinya. Hiburan itu mestilah bersifat mendidik jiwa dan rohani, bukan pula meruntuh akhlak dan sahsiah mahasiswa. Itulah penegasan saya terhadap tindakan saya itu. Sebab itulah saya memberanikan diri menuju ke tengah-tengah pentas lalu memberhentikan bentuk hiburan tersebut walaupun pada masa itu terdapat beratus-ratus pelajar lain. Cukuplah Allah sebagai teman dan pelindungku....

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow my page

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cheap international calls