SHOUT HERE

23 September 2012

Tips Mengundi dalam Pilihanraya, by Dr MAZA

Tips 1: Seseorang muslim hendaklah mengundi dengan ilmu pengetahuan, bukan sekadar ikut-ikutan. Ertinya, keputusannya untuk memilih seseorang calon adalah dengan pengetahuan tentang latar belakang calon berkenaan. 


Ini kerana Allah S.W.T telah memerintahkan kita agar bertindak atas ilmu, bukan kejahilan.

Firman Allah: (maksudnya): “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta jantung akal kamu, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya”. (Surah al-Isra: 36).

Maka, setiap individu yang hendak pergi mengundi wajib mempunyai maklumat tentang calon yang hendak dipilih.

Tips 2: Seseorang pengundi muslim hendaklah mendengar dari pelbagai sumber dan memilih yang terbaik. Ini kerana pilihanraya menawarkan lebih dari seorang calon, maka kita perlu membuat pemilihan antara mereka.

Tips 3: Namun, jika kita berusaha, kita mungkin boleh mendapat maklumat dari kesemua pihak tentang apa yang hendak dan mampu calon berkenaan lakukan. Allah mengingatkan kita tentang ciri-ciri insan berfikiran matang yang Allah redha, mereka itu dinamakan dengan Ulul Albab.

Antara ciri mereka, seperti yang Allah firmankan: (maksudnya) “..oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu . (Iaitu) mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang sampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab” (al-Zumar: 17-18).

Maka, usaha mendapatkan maklumat yang adil sehingga dapat membuat pilihan yang terbaik adalah penyebab kepada seseorang insan mendapat petunjuk daripada Allah dan mendapat ganjaran pahala.









07 September 2012

Tuhan...Aku hanya manusia

Allahu rabbi,

Semua manusia ingin berubah kepada yang lebih baik. Aku juga ingin berubah dan bertahan dalam perubahanku.  Begitulah fitrah seorang manusia yang mahukan kehidupan yang baik, diredhai dan selalu berada dalam kasih sayang Allah. Sejahat manapun insan itu, sampai masanya dia pasti mendambakan fitrah asalnya iaitu Islam. 


Sekiranya seorang insan itu ingin kembali kepada Allah, dia tidak perlu perantara. Siapapun dia, apa jua keturunnya, siapapun datuk atau neneknya, di mana pun asalnya, sejahat manapun dia...jika dia ingin kembali kepada Allah, tiada siapa yang boleh menghalangnya. Ikrimah anak kepada Abu Jahal telah menjadi sahabat Nabi yang dekat walaupun dia pernah bersama-sama bapanya menentang Nabi SAW. Saidina Umar Al Khattab juga pernah berniat untuk membunuh Nabi SAW, namun semua itu berubah apabila cahaya Iman masuk ke hati. Penentang menjadi pembela.

Hanyatilah kalam Allah dalam surah An Nisa', ayat 100.

"Berubahkah aku hanya bila ada sesuatu...? Dan apabila sesuatu itu tidak dapat aku perolehi, maka aku pulang kepada sikapku sebelum aku berubah. Mudah berubah lagi dalam sekejap."

Betapa besarnya mujahadah untuk bertahan dalam perubahan. Apa yang akan menjadikan kita bertahan dalam perubahan ialah apabila perubahan itu diringi dengan hati yang IKHLAS. Ikhlas beerti seseorang itu tetap istiqamah apabila dia kehilangan apa yang dikejar atau dihajatinya. Sahabat-sahabat, jangan berputus asa dalam berhijrah. Biarlah kita selalu terkenang akan dosa yang silam agar kita tidak jemu untuk terus bertaubat. Jangan kita kenang amalan baik kita yang lalu, kerana itu akan membuatkan kita menjadi leka.

Allah tahu kita seorang manusia. Dia tahu bahawa kita bukannya malaikat. Dia juga sangat tahu bahawa kita tidak terlepas dari melakukan kesalahan walaupun ia berulang kali. Kerana Dia yang menciptakan kita. Sebab itu dia buka pintu taubat-Nya seluas-seluasnya pagi dan petang. Jangan berputus asa sehingga Allah menjemput kita. Biarlah kita mati dalam perubahan daripada mati dalam keadaan terus melakukan dosa.

Aku mahu berubah.



04 September 2012

Kini aku di semester akhir

Alhamdulillah

Kini aku sudah hampir melangkah masuk ke semester akhir pengajianku dalam level degree. Sekali imbas, begitu cepat aku sampai ke semester akhir. Macam-macam yang sudah aku lalui dalam semester lalu. Berbagai-bagai perasaan sudah dilalui sepanjang aku berada di Merbok, Negeri Kedah. Sahabat-sahabat pun makin bertambah dan mereka banyak membantu ketika aku dalam kesusahan malahan kami berkongsi kegembiraan bersama. Inilah hikmah mengapa Allah menghantar aku ke sini. Agar bisa aku merasai manisnya ukhuwah walaupun ujian datang melanda. 


Kini, aku sudah bersiap sedia untuk melalui semester akhir yang tinggal beberapa hari lagi. Azam dan persiapan mental sudah aku siap sediakan walaupun persiapan fizikal masih ada sedikit kekurangan. Namun akan aku gunakan masa cuti yang berbaki ini untuk memastikan kekuatan fizikal berada di tahap yang maksima. Menjadi pelajar semester akhir tidak sama dengan pelajar di semester 2,3,4 atau 5. Arah tuju yang jelas perlu disediakan agar perjalanan seterusnya tidak terbantut. Fikiran digunakan sepenuhnya untuk merancang arah tuju seterusnya. Tidak ketinggalan juga perbincangan bersama keluarga, rakan-rakan dan orang yang dekat dengan diri ini dilakukan. Ini untuk memastikan agar tidak berlaku kesilapan yang besar kelak. Namun, harus aku akui bahawa aku masih tidak dapat membuat keputusan. Walaubagaimanapun, Istikharah tetap menjadi pilihan utama dalam mencari solusi. Sememangnya, pemikiranku sudah merentasi 30 tahun kehadapan. Belum lagi bergelar graduan, sudah bermacam-macam perancangan, plan A,B,C di benakku. 

Kerap juga aku diusik sahabat-sahabat dengan soal pilihan hati dan jodoh. Biasalah, apabila bersama dengan perjuangan Islam dalam kampus, pelajar semester akhir digalakkan untuk ber'UBM dalam istilah umumnya. Ada juga yang berbicara denganku bahawa dalam dunia moden sekarang, berkahwin awal juga menjadi inisiatif yang terbaik untuk generasi muda.  Apatah lagi mereka yang terjun ke medah dakwah. Ya, aku setuju dengan pendapat itu kerana ianya bukan lagi teori semata-mata. Begitu ramai sahabat-sahabatku yang sudah berumah tangga diusia yang muda. Barakallah! Namun begitu, persoalan ini, biarlah menjadi rahsiaku.... :)

Cabaran menjadi anak sulung sememang amat besar. Tangungjawab berada di bahu setelah ibu bapa. Anak sulung juga menjadi pembela kepada nasib keluarga. Itu yang membuatku menjadi giat berfikir tentang masa depan. Apapun, akan aku lakukan sebaik mungkin.

Bagi aku, semua ini akan menjadikan aku lebih matang dan berfikiran jauh. Namun, roh aku sentiasa dahagakan pengisian rohani. Rindu menjadi-jadi takkala pengisian rohani kurang. Aku sedaya upaya untuk tidak membiarkan hati dan jiwa ini kosong dari pengisian rohani. Itulah sumber tenaga dan kekuatanku untuk terus melalui kehidupan ini. Dalam masa yang sama, aku sentiasa mengharap agar Allah mengurniakan aku insan yang dapat membantuku untuk lebih dekat dengan penciptaku. Bukahkah itu semua harapan para pemuda dan pemudi?

Orang soleh ada masa lampaunya
Si pendosa juga ada masa depannya

Dan aku, ada masa lampau dan ada juga masa depan. Begitu juga dengan anda semua. Mohon doa dari kalian agar aku tetap berada dalam kasih sayang Allah. :)


13 August 2012

Suami Isteri: "Belajar Bercakap"


Isteri A berkongsi, sebagai seorang student yang berjumpa suami jarang-jarang...

"Dah lah jarang berjumpa, bila jumpa, suami tak tanya pun khabar saya.." luah isteri ini yang baru sebulan dua bernikah.

"Suami tahu tak...?" tanya saya.

"Takkan itu pun nak bagitahu...?" jawabnya.

Isteri B pula berkongsi, banyak perkara-perkara 'kecil' yang dia suka suaminya lakukan.. Antaranya,

"Bila keluar pergi kerja, saya suka kalau suami cium dahi saya.."

"Suami tahu tak..?" tanya saya.

"Malulah nak bagitahu..." jawabnya.

Saya bukanlah orang yang arif lagi berpengalaman luas tentang pernikahan, apatah lagi pernikahan sendiri yang baru mencecah usia dua tahun. 'Masih belum menghadap realiti', kata sesetengah orang. Biasanya, setahun dua usia pernikahan dikatakan masih di fasa 'honeymoon', jadi masih banyak perkara yang kita tidak nampak dan lalui.

Saya hanya kongsikan tentang persediaan pernikahan di sini berdasarkan apa yang telah dilalui dan dari pengalaman teman-teman lain yang juga telah berumahtangga.

Jangan abaikan perkara kecil

"Perkara kecil" seperti tanya khabar 'Sayang apa khabar?' dan 'sepotong ciuman' ini adalah antara perkara yang perlu dikomunikasikan, jika tidak hal yang kelihatannya kecil ini perlahan-lahan memudarkan cinta di hati pasangan. Isteri rasa tidak disayangi, padahal banyak lagi kebaikan dan bentuk kasih sayang suami padanya.

Belajar bercakap
"Saya banyak belajar dari perceraian ini walaupun perit.. Di awal-awal perkahwinan dulu kami terlalu sibuk dengan kerja, hingga banyak perkara tidak sempat dikomunikasikan dengan baik. Kami selalu berselisih pendapat..." luah seorang isteri yang berakhir pernikahannya setelah 3 tahun bersama.

"Belajar bercakap..." maka itulah jawapan saya apabila ditanya 'Apakah persediaan sebelum bernikah?' oleh seorang teman yang bakal menginjak kaki ke alam pernikahan.

Kembali kepada 'belajar bercakap', bagi saya ia teramat penting. Bahasa modennya, berkomunikasi.

Sangat-sangat penting. Walau sibuk bagaimana sekalipun, tidak ada kesempatan untuk berdua menatap muka, jika kita ada masa untuk sms client tentang urusan yang berkaitan, untuk emel report dan segala dokumen lain atas urusan kerja, maka gunakanlah segala teknologi ini untuk menyusun seindah bicara mengkomunikasikan harapan dan kehendak pada pasangan. Untuk meneguhkan rumahtangga dalam pelayaran hidup yang sementara.

Bangunkan komunikasi
Sebelum bernikah, ada di antara kita yang begitu 'menjaga', hingga komunikasi tidak dibangunkan. Atau minima sekali. Tidak berbincang dan tidak ada perkongsian tentang apa dan bagaimana kehidupan suami isteri yang diharapkan.

Ada pula yang 'tidak menjaga', terlebih komunikasi – ungkapan rindu sayang bertali arus, hingga komunikasi menjadi begitu intim mengalahkan intimnya komunikasi suami isteri. Malah komunikasi yang keterlaluan membuka hati dan perasaan pada hubungan yang terlarang.

Maka sebelum bernikahan, kita berusaha membangun komunikasi yang pertengahan, bersederhana. Kuncinya, ittaqilah (taqwa). Secara langsung atau tidak langsung.

Ungkapkan harapan dan perancangan hidup kepada bakal suami atau isteri dengan kepercayaan dan ketelusan. Kongsikan latar belakang keluarga, kelemahan dan kekekurangan diri seadanya dalam berusaha membina penerimaan dan kefahaman. Luruskan expectations yang meleset dari jangkauan supaya kelak tidak merasa 'tertipu' dengan penampilan luaran pasangan.

Hal-hal yang dikomunikasikan sebelum dan di awal-awal pernikahan adalah teramat penting dalam menentukan arah tuju kebahagiaan rumahtangga yang dibina.

Kita mungkin biasa terdengar, salah satu faktor utama perceraian ialah kegagalan komunikasi berkesan.

"Komunikasi berkesan... Apakah ini...? Complicated sangatkah?"

Ya, perkahwinanan akan jadi complicated bila kita tidak pandai bercakap. Tidak pandai menyuarakan keinginan dan tidak bijak menyuarakan ketidakpuasan hati tentang rumahtangga dan pasangan.


Bangunkan keserasian
Kita susah untuk serasi bersama suami isteri jika tidak tahu bagaimana menyatakan penghargaan dan kekecewaan. Banyak perkara ingin diluah, tidak terluah. Tidak tahu cara yang betul atau memang tidak suka untuk berkongsi. Dan, banyak juga yang tidak sepatutnya disebut dan diungkapkan, telah menjadi ayat dan bait-bait kata yang mencederakan perasaan pasangan.


Tidak dilupakan juga, lelaki dan perempuan 'bahasanya' berbeza walaupun maksudnya sama. Bukalah buku-buku tentang cara berkomunikasi lelaki dan perempuan.

Pada lelaki, bukalah 'women's dictionary'.

Pada perempuan, belajarlah ayat-ayat yang berhikmah lagi berkesan untuk memuji atau menegur kesalahan suami.

Contoh lain dialog suami isteri:

"Takde apa..ok je.." jawab si isteri walau mukanya menunjukkan 'ada apa-apa'.

"Oklah, kalau tak ada apa-apa, abang pergi dulu, kawan-kawan abang dah tunggu..." maka suami pun 'selamba' meninggalkan isteri yang mungkin ada masalah yang ingin diluahkan kepada suami. Isteri menahan sendu dan airmata, suami keluar dengan rasa tenang hati kerana merasakan 'semuanya ok, tak ada apa-apa'.

Wahai isteri, tidak semua para suami itu mampu membaca fikiranmu... Jawablah dengan bahasa yang difahami lelaki.

Wahai suami, tanyalah penuh perhatian menunjukkan kepedulianmu... Belajarlah sedikit bahasa psikologi seorang isteri.

Tidak perlu salahkan sesiapa, bukan salah sistem pendidikan yang tidak pernah ajar tentang psikologi pernikahan dan hubungan lelaki perempuan, bukan salah ibu ayah kita yang sering bercakap dengan bahasa yang saling menjatuhkan – lalu kita pun mengikut gaya bahasa sebegitu.. tapi..

TAPI.. mulakanlah dengan diri kita, yang akan bernikah dan telah bernikah.

Muhasabahlah cara kita berkomunikasi dengan pasangan, adakah CARA kita bercakap telah membantu menenangkannya, menggembirakan, memujuk, atau CARA kita bercakap sering 'membelasah' dan 'meremeh-remehkan' pasangan walaupun kita tidak berniat untuk meremeh-remehkannya, hingga hatinya terhiris terluka.

Setelah dua tahun bernikah ini, saya masih belajar meningkatkan komunikasi suami isteri. Selama dua tahun bernikah ini, saya juga telah komunikasikan banyak benda kepada suami. Komunikasi secara berdepan, melalui esemes (SMS) , wai-em (YM), emel dan lain-lain cara komunikasi yang ada.

Minggu-minggu terakhir sebelum bernikah, banyak pendedahan-pendedahan dari pihak suami kepada saya (bakal suami waktu itu). Beliau secara telus mengungkap pengharapannya kepada saya bakal isteri, beliau juga tidak segan mengkhabarkan kelemahan dan kekurangan diri buat persediaan untuk hidup bersama. Beliau turut menceritakan perancangan-perancangan jangka pendek dan jangka panjang setelah bernikah.


Ia tidak berhenti di situ. Setelah bernikah, komunikasi itu perlu kita teruskan dengan jujur dan hikmah. Setelah hidup berdua, sebumbung dan sekatil, kita makin mengenali karakter pasangan, kita makin memahami erti hidup berumahtangga.

Komunikasikan lagi apa yang telah kita dapat dari pasangan dan rumahtangga sejak minggu-minggu dan bulan-bulan awal , apa perkara yang kita syukuri pada ALLAH tentang pasangan, apa perkara yang kita ingin diri kita dan suami perbaiki, duduk bersama suami isteri memuhasabah tentang hubungan suami isteri secara berkala – mingguan dan bulanan.

Mulakan dari awal perkahwinan
Di awal perkahwinan, menbina keserasian dengan komunikasi ini sangat-sangat penting. Wajib menyediakan masa untuk bercakap dari hati ke hati. Kita sedang membina sistem rumahtangga, kita sedang mencari kesefahaman, kita sedang ingin menumbuhkan penghormatan dan kasih sayang pada insan asing yang telah bergelar suami atau isteri kita.

Setiap sesuatu sikap dan pemberian yang baik dari pasangan, kita hargai dan berterima kasih. Walaupun ia amat kecil pada kita. Supaya pasangan kita tahu dirinya telah berbuat sesuatu yang baik dan betul sebagai suami dan isteri.

Setiap sesuatu sikap dan tindakan pasangan yang tidak kita sukai, kita perlu luahkan walau kita bimbang dirinya akan berkecil hati dengan teguran kita. Supaya suami atau isteri tahu, dirinya telah berbuat sesuatu yang pasangan tidak selesa dan tidak gemari.

Yang boleh diubah, kita perbaiki. Yang memang tidak boleh atau terlalu sukar untuk diubah, kita terima dengan lapang hati. Ketika itulah rumahtangga mampu menjadi medan kasih sayang dan amal bakti setulus hati. Komunikasi yang baik akan melimpahkan keharmonian dan mendamaikan hati dalam melalui ujian dan dugaan kehidupan seharian.

Sebelum bernikah.. ya, kita tahu di dalam sebuah rumahtangga akan ada elemen kewangan, hubungan intim, mertua-ipar duai, kerjaya, anak-anak, hobi, leisure, aktiviti dan tanggungjawab lainnya... tapi kita hanya akan faham tentang elemen-elemen itu bila ia mula menimbulkan konflik dalam rumahtangga. Bila kita menghadapinya, ketika itulah kita akan mempraktikkan teori tentang pernikahan yang kita tahu.

Maka komunikasi teramat perlu untuk meredakan dan meluruskan konflik yang timbul.

Berkomunikasilah... Bagaimana pendapatan suami isteri dan kewangan keluarga dibahagi-bahagikan. Supaya suami isteri tak bersangka-sangka bahawa mereka hanya menghabiskan duit untuk kepentingan sendiri. Supaya suami isteri boleh bersinergi mengukuhkan bajet keluarga.

Berkomunikasilah... Apa cabaran dan kebaikan dalam pergaulan dengan mertua dan ipar duai. Jika tidak suka atau tidak selesa dengan gelagat mertua atau ipar duai, nyatakan secara jelas dan berhikmah pada pasangan. Jangan sekadar buat muka masam mencuka dengan kehadiran mereka yang tidak disenangi, jangan mencela tak tentu hala, namun duduk berbincang suami isteri, apa jalan tengah untuk meluruskan isu ini.. Perjalanan pernikahan kita masih panjang, tidak mungkin mampu kita hadapi jika perbalahan subur sentiasa.

Berkomunikasilah... Untuk mengindahkan hubungan intim suami isteri, untuk terus menyuburkan cinta kasih sesama pasangan. Harus bagaimana untuk saling memuaskan pasangan, harus bagaimana mencari masa berkualiti untuk bermanja-manja suami isteri sewaktu urusan anak-anak, tekanan kerja dan kewangan tidak pernah jauh dari fikiran.

Pastinya komunikasi tentang hubungan intim bukan di hadapan anak-anak, bukan sewaktu tengah lapar di meja makan, bukan ketika fokus memandu, tapi ketika ada ruang bermesra-mesra, ketika itulah sedikit-sedikit membina keserasian hubungan seksual. Bukankah ada kajian menunjukkan kadang-kadang bertahun-tahun baru suami isteri dapat menikmati hubungan seksual yang memuaskan...?

Namun segala isu ini- kewangan, keluarga mertua, hubungan intim dan lain perkara - kuncinya adalah komunikasi. Supaya timbul istilah menzalimi pasangan dalam hak-haknya. Supaya kita dapat mencicip sedikit kebahagian dalam rumahtangga yang kita bina bersama.
Akui kesilapan sendiri, maafkan pasangan SELALU

Nada bercakap, perkataan dan ayat-ayat yang terungkap dari bibir-bibir kita telah banyak mengguris hati pasangan bukan? Mungkin dengan perkataan-perkataan kita, hati pasangan telah terluka parah atau mungkin kelukaan kecil.

Maka usah bertangguh dan merasa berat memohon maaf, kenali dan akui kesalahan-kesalahan kita pada pasangan.. Mohonlah maaf kerana ALLAH. Maafkanlah pasangan kerana ALLAH. Saya teringat sebuah pepatah:

"Perkahwinan yang bahagia itu, lahir dari suami isteri yang suka memaafkan."

Ya, kerana kita bernama manusia tidak berhenti melakukan kesilapan perkataan dan tindakan. Berusaha yang terbaik memperbaiki diri, dan maafkan saja perkara-perkara yang amat sukar diperbaiki.

Saya rasa seperti baru semalam bernikah, dengan cinta dan rindu yang selalu ada pada suami. Nah, bukan cinta rindu ini sentiasa ada kerana tidak ada konflik, konflik mingguan dan bulanan memang ada untuk kita semua...

Saya juga perempuan seperti kalian, ada masa duduk di kerusi isteri yang bagus lagi menenangkan dan ada masanya di kerusi isteri yang suka membesarkan masalah kerana mengikut melulunya perasaan...

Namun bila sering konflik besar dan kecil datang menduga – bila konflik-konflik ini kita luruskan dengan komunikasi yang baik, kasih sayang akan makin berkembang segar. Kita merasa difahami, pasangan merasai disayangi, malah komunikasi yang baik membawa dua-dua suami isteri melalui kehidupan yang damai dan harmoni walau hujan masalah secara berkala menimpa.

_______________________________
Artikel iluvislam.com
Biodata PenulisNurul Adni Adnan dilahirkan 22 September 1984. Puteri sulung ayahbonda tercinta, Adnan Abdul Manap dan Normah Sabar. Anak ketiga dari sembilan beradik.Berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Kini menetap di Meru, Klang. Telah berumahtangga dan diamanahkan seorang cahaya mata. Beliau berkongsi karya di http://sisi-kehidupan.blogspot.com




09 August 2012

Lailatul Qadr: 10 Malam Terakhir


Suami Isteri: Bergandingan bahu menuju Ilahi

Sempurnanya Allah mengatur perjalanan hidup manusia, dikurniakannya nikmat dan rahmat yang berterusan pada kita dalam setiap tahap kehidupan. Namun bersama dengan setiap anugerah Allah itu, datang ujian dan tanggungjawab yang berat. Salah satu anugerah Allah yang sangat berharga dalam kehidupan manusia ialah kurniaan suami atau isteri dan pernikahan.

Suami adalah manusia biasa, bukan malaikat, juga berjuang dengan fitrahnya yang sentiasa ingin mencari kebaikan dan kebenaran. Dengan fikiran dan perasaannya yang unik sebagai lelaki, yang semestinya berbeza dari minda dan jiwa seorang perempuan, seorang suami yang mengenal hakikat kehidupan akan berusaha memberi yang terbaik kepada perempuan yang sangat dekat dalam hidupnya, yang bernama isteri.

Dengan kelebihan fizikalnya, suami menjadi pelindung dan peneguh kepada isteri yang juga berjuang mencari kebaikan dan kebenaran. Dengan kekuatan ilmu dan iman, seorang suami mampu menjadi pembimbing, penasihat dan teman terbaik pada isteri. Seorang suami juga bertanggungjawab mengetuai perancangan dan aturan masa depan keluarganya dengan membuat keputusan – keputusan penting untuk kebahagiaan dan keberkesanan keluarga yang dibina, tentunya ini dengan bantuan isteri yang menjadi pendorong utamanya.

Namun realiti waktu kini memaparkan sukarnya mencari lelaki yang mampu menjadi teman terbaik. Umpama mencari sebutir permata di kawasan pasir putih yang saujana mata memandang. Saudara muslimah di sana sini ada yang sering bersedih kerana keadaan suaminya yang nampak macho dan gagah, namun kurang rajin dan tidak produktif dengan tanggunggjawab kerja di luar rumah, juga tidak membantu kepenatan isteri mengurus rumahtangga. Jika pun tidak membantu kerja-kerja rumah, bantulah menghibur emosi isteri dengan pujian dan penghargaan. Jua kata-kata cinta yang menenangkan.

Kerap juga didengari, suami yang diharapkan berkongsi ilmu, sering tersasar dengan perbuatan yang tidak bermanfaat, yang mengundang duka di jiwa isteri. Suami yang diharapkan berkongsi kekuatan iman, rupanya sering lalai menunaikan solat dan tidak berminat mendalami agama, sedangkan jiwa isteri memutik rasa untuk mendalami agama Allah dan RasulNya. Isteri jua makan hati dengan akhlak suami yang kasar dan tidak melayani isteri dengan cara yang sepatutnya.


Tika ini, di waktu hati seorang isteri berasa tawar dan berpasir menghadapi kekurangan suami, di manakah kekuatan kita untuk meletakkan suami sebagai teman terbaik? Teman yang menjadi wasilah meraih syurga...?

Wahai saudara muslimahku, ayuh saya peringatkan diri ini dan kalian, tidak akan sekali-kali diri kita sebagai isteri mampu mengecap kebahagiaan sebenar berteman suami seandainya ALLAH dan Rasul tidak menjadi panduan terbaik. Andainya Al Quran dan As-Sunnah jauh dan bukan kecintaan kita, kegembiraan bersuami terasa hambar dan sebentar cuma.

Ayuh kita memuhasabah dan memperbaiki diri, andai diri ini berkeperibadian seorang isteri yang baik, pasti kita juga ada ruang untuk mengaurakan kekuatan untuk suami menjadi suami yang terbaik, dengan izin Allah pastinya.

" Saya tak biasa, saya sibuk dan tak ada masa untuk membaca dan mentadabbur Al Quran.."

" Saya tidak ada kitab-kitab hadis, saya bukan ustazah nak baca hadis, saya tak mampu beli buku-buku agama.."

"Saya tak 'alim, saya bukan orang yang baik-baik macam isteri si fulan..."

Wahai diriku dan saudaraku, kita memperuntukkan masa untuk berhias, membelek wajah dan tubuh, mengemas rumah, memasak, membersihkan diri dan anak-anak, maka peruntukkanlah masa juga untuk menghidupkan iman di hati dengan tilawah dan tadabbur -[merenung] ayat-ayat Al Quran, dan masa untuk menikmati manisnya hidangan Islam melalui hadis-hadisnya.

Dalam kesibukan bekerja dan mengurus rumahtangga, peruntukkanlah masa untuk belajar dan terus belajar tentang agama Allah yang memberi makna pada kehidupan sementara kita di dunia. Kita akan serabut melalui kehidupan dengan ilmu yang sedikit, kita menzalimi diri jika tidak berniat untuk menjadi isteri yang berilmu.

Carilah jua masa, ruang dan kesempatan untuk kita belajar menghias diri dengan akhlak mulia dan personaliti yang mampu memberi sumber kekuatan pada suami.

Kita merasa lelah berusaha melayan suami dengan terbaik, menjadi teman bersembang, melayan makan minum, menghibur di kamar, menjaga zuriat dan rumahtangganya, namun kebahagiaan kudus tidak hadir sama sekali..?

Kerana kita sedang menukar kebahagiaan pernikahan dengan kesedihan berpanjangan, bilamana Allah dan Rasul masih tidak menjadi cinta, matlamat dan rujukan utama hidup ini.

Apabila telah mengenal Allah dan Rasul, redha menjalani syariatNya, bermujadah mentaatiNya, ketika itulah hati seorang isteri mampu menjadikan suaminya teman terbaik.

Nurani seorang muslimah yang ikhlas kerana Allah dan mengenal Allah sebagai harapan dan cita-cita utamanya, akan mampu mencintai dan mentaati suaminya dalam keadaan berat dan ringan, dalam keadaan suka dan duka.

Seorang isteri beriman sangat lapang dan berbesar hati berdamping dengan suaminya, dalam apa jua ujian dan cabaran berumahtangga. Dia menjadi cermin utama yang membantu suami memperbaiki diri menjadi lebih baik. Dia mendorong kebaikan suami, maka suami terus istiqamah memimpin diri dan keluarga ke jalan Allah. Dia menjadi pakaian yang melindungi kekurangan dan kesilapan suami, hingga suami yakin dan opitimis menjalani liku kehidupan yang semakin menggugat.

Dengan ilmu dan keimanannya, seorang isteri menjadi peneguh hati seorang suami. Dia bukan sekadar menghargai suami dalam diam, namun membuatkan suami benar-benar terasa dihargai dan difahami. Isteri yang bijak akan meraikan perbezaan suami sebagai seorang lelaki dan memahami karakter sendiri sebagai perempuan hingga apa jua pertimbangan berkaitan rumahtangga tidak semberono mengikut tindakan jua perasaan yang melulu.


Isteri menjadi teman terbaik tatkala dia berilmu untuk memimpin rumahtangga dan anak-anak dan dia juga bersedia membantu kepimpinan suami. Dia menjadi penasihat dan pengkritik yang berhikmah. Dia memberi idea yang bernas dan matang. Dan sesungguhnya kematangan yang sebenar adalah kematangan yang bersumber ilmu, iman dan ketaqwaan.

Apabila suami menjadi teman yang terbaik, suami itulah yang mendapat tempat utama dalam doa, perhatian dan tumpuan isteri yang sejati. Kerana isteri mampu melihat syurga dalam setiap ketaatan dan khidmatnya pada suami.

Tidak mudah untuk mengungkap semua ini, lebih payah untuk saya dan kalian merealitikan. Segalanya ini bukan mudah, perlu mujahadah yang luar biasa namun insyaAllah suami adalah teman terbaik, andai mampu menjadikan Allah rujukan awal yang terbaik. Segala-galanya kerana ALLAH.




______________________________
artikel iluvislam 
Sumber

Biodata Penulis
Nurul Adni Adnan dilahirkan 22 September 1984. Puteri sulung ayahbonda tercinta, Adnan Abdul Manap dan Normah Sabar. Anak ketiga dari sembilan beradik. Berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Kini menetap di Meru, Klang. Telah berumahtangga dan diamanahkan seorang cahaya mata. Beliau berkongsi karya di http://sisi-kehidupan.blogspot.com

08 August 2012

MEMAHAT SEJARAH GEMILANG

Saudaraku…
Kita pasti pernah bermimpi. Mimpi orang muda, orang tua, pejabat, rakyat jelata, dosen dan mahasiswa, pedagang, petani, pengusaha, orang yang masih hidup lajang dan yang sudah menikah tentu berbeda. Demikian pula orang yang tinggi cita-citanya dengan orang yang lemah semangatnya jelas berbeda pula mimpinya. Tapi kita selaku umat Islam memiliki satu cita-cita dan mimpi. Apapun profesi dan jabatan serta status kita. Kita bermimpi, Islam kembali mewarnai dunia. Peradaban Islam kembali berjaya, seperti di zaman Nabi saw dan para sahabat.

Saudaraku...
Pepatah mengatakan "mimpi hari ini adalah kenyataan hati esok." Maka pada saat kita bermimpi bahwa sejarah gemilang umat Islam akan kembali terukir dalam sejarah, itu bukanlah mimpi kosong. Bukan pula isapan jempol belaka. Tidak pula seperti panggang jauh dari api. Selama mimpi-mimpi indah kita tersebut dibarengi dengan ikhtiyar dan usaha maksimal. Selama kita berpegangan kepada Zat Yang Maha Kuat. Selama seluruh elemen kekuatan umat bersatu padu menggapai mimpi. 

Syekh Mustafa Siba'i rahimahullah pernah menularkan pengalamannya kepada kita. Agar peradaban Islam menjadi rujukan bagi kehidupan umat manusia. Ia menulis: Para pemuda, memahat sejarah dengan hati mereka. Para ulama membangun peradaban dengan akal mereka. Dan orang-orang bijak, melukis masa depan Islam dengan ruh mereka. Jika hati, akal dan ruh berpadu dan saling menopang untuk membangun sejarah, tentu akan tercipta peradaban yang tiada padam cahayanya. Seperti api yang tak akan sirna kilauannya. Demikianlah sejarah (gemilang) telah tercipta pada generasi pertama (generasi sahabat, era terbaik umat ini). (Hakadza 'allamatnil hayat). 

Saudaraku...
Pemuda, ahli ilmu dan orang-orang bijak adalah tiga elemen kekuatan yang tangguh untuk mengembalikan kejayaan umat. Syaratnya ketiga elemen itu menjadi pilar dan tiang yang saling menguatkan. Ketika para pemuda, yang biasanya larut mengikuti aliran syahwat. Justru mereka hidup mengikuti arahan hati nurani. Berpikir dan berperilaku sesuai petunjuk hati yang hidup. Beramal dan berjuang serta beraktifitas sesuai dengan suara hati. Maka hal itu merupakan asset berharga untuk mengembalikan kejayaan umat. 

Ketika para ahli ilmu dan ulama, mentransfer ilmu mereka kepada masyarakat. Membimbing umat untuk memahami hakikat hidup dan kehidupan. Menunjuki mereka jalan-jalan kebahagiaan dan kemenangan. Menjauhkan mereka dari jalan kesesatan, penyimpangan dan keteledoran. Memperingatkan mereka akan bahaya mengikuti arus zaman tanpa mengindahkan petunjuk langit. Serta mengingatkan mereka akan tanggung jawab yang harus dipikul oleh masing-masing pribadi, keluarga dan masyarakat di hadaapan Allah swt. 

Dan seterusnya. Para ahli hikmah dan orang-orang bijak, dengan ruhani mereka yang mengkilap dan kental, menerangi umat; jalan-jalan panjang menuju surga. Dan dengan keteladanan dan contoh nyata dalam kehidupan, mereka menjadi semacam lentera di kegelapan malam nan gulita. Menyelamatkan masyarakat dari ketergelinciran ke jurang neraka. Mereka sadarkan umat, bahwa untuk meraih mimpi indah di dunia dan akherat, diperlukan semangat puncak dan usaha yang maksimal. Serta sandaran yang kokoh kepada Zat Yang Maha Perkasa. 

Ketiga elemen kekuatan umat inilah yang dulu, pernah mengembalikan kejayaan umat di masa pemerintahan Muzhafar Qutuz. Yang mampu memukul mundur pasukan Tartar di bawah komando Hulako yang bengis itu. Karena para ulama seperti Ibnu Taimiyah dan orang-orang bijak memberikan andil, peran dan kontribusi yang diharapkan umat. 

Saudaraku...
Sebagai eleman umat, sudahkah kita bermimpi besar tentang masa depan umat Islam ini? Jika belum, bermimpilah. Dan bagi yang telah bermimpi, bangunlah dan segera kejar mimpi tersebut. Semoga sejarah gemilang umat Islam, yang menjadi mimpi kita bersama segera terbangun dan terwujud di alam realita. Dan kita termasuk orang yang mengambil peran dalam perjuangan umat menuju ke sana. Amien. Wallahu a'lam bishawab. 


Riyadh, 04 Agustus 2012 M
Ustadz Ahmad Mustaqim


Si pengemis yang kasihan

Kerap kali apabila aku berjalan-jalan di bandar sandakan untuk membeli barang, atau ketika balik dari kerja terserempak dengan kanak-kanak, makcik yang tua duduk termenung sambil tangan dihulurkan meminta sedekah. Aduh, hati ini terus jadi kasihan melihat keadaan mereka. bagaimanalah mereka mendapatkan makanan, tempat tinggal dan pakaian jika keadaan hidup mereka begini. Kasihan dengan anak-anak kecil yang sabar menanti di tepi-tepi jalan agar diberikan duit untuk mendapatkan makanan.

Pernah juga aku bertanya dengan rakan seoffice tentang keadaan mereka ini. Lalu jawapannya sangat simple, "dorang tu sindiket". Mungkin ada benarnya juga, atau mungkin mereka diperalatkan bagi mendapatkan duit bagi pihak lain. Pernah juga aku tengok movie indonesia yang mengisahkan kanak-kanak yatim yang tiada tempat tinggal diperalatkan dengan mengemis di tengah kota lalu hasil yang mereka perolehi daripada mengemis tadi berikan kepada individu yang menjaga mereka. Kanak-kanak ini hanya diberikan makanan dan tempat tingga sahaja. Bukan seorang dua, tapi berpuluh-puluh kanak-kanak yang diperalatkan. Jadi, kalau benar apa yang dikatakan oleh rakan aku tadi, rasanya situasinya sama dengan movie tadi.

Sepatutnya kanak-kanak ini tempatnya di sekolah atau madrasah dan bukannya di tengah kota dengan pakaian yang amat lusuh, rambut tidak terurus dan badan yang kotor berjalan ke hulu hilir kota meminta duit dari orang ramai. Orang ramai pun ada yang buat tidak kisah saja namun ada juga yang bersimpati dengan menghulurkan seringgit dua. 


Sebelum itu lagi, pernah juga aku bertanya dengan rakan sekerja yang lain (praktikal saja bha aku) tentang hal pengemis-pengemis yang semakin ramai aku lihat di tengah bandar sandakan. Jawapnya, "perdagangan manusia". Oh, bila dia sebut begitu, aku dapat tangkap maksudnya dengan cepat sekali. Ya, mereka adalah mangsa perdagangan manusia. Dibawa dari kampung asal dengan tujuan mencari kerja yang lebih baik tetapi sampai sini dibiarkan saja tanpa dihiraukan. Akhirnya, menjadi  pengemis kerana tiada pekerjaan untuk mereka apatah lagi surat-surat penting dan dokumen pengenalan diri tiada!

Apabila melihat mereka, selalu juga aku terfikir sekiranya aku jadi menteri atau orang yang ada kuasa untuk membuat polisi, apa yang boleh dilakukan untuk membasmi aktiviti mengemis ini dan sekaligus membantu mereka mendapat kehidupan yang lebih baik. Lagipun mereka juga manusia yang ada hak untuk mendapatkan hidup yang lebih baik. Inilah apa yang dijamin dalam hak asasi menurut Islam seperti mana yang dijelaskan oleh Syed Abu 'Ala Al Maududi. 


Fikir...


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow my page

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | cheap international calls